• Ucapan Sulung Trump Di Perhimpunan Agung PBB Sasarkan Korea Utara , Iran

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    PERTUBUHAN BANGSA BERSATU : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mendesak Korea Utara supaya menarik diri daripada membangunkan senjata nuklearnya dan mengkritik perjanjian nuklear Iran.

    Trump berkata demikian dalam ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi berita China Xinhua.

    Dalam ucapannya kira-kira 40 minit, Trump turut memberi amaran AS "tiada pilihan lain selain memusnahkan sepenuhnya" Korea Utara kecuali Pyongyang berundur daripada menjalankan ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu.

    Terdahulu pada perhimpunan sama, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam ucapannya berkata krisis di Semenanjung Korea harus diselesaikan melalui proses politik.

    Trump dalam ucapannya turut mengkritik perjanjian nuklear yang dipersetujui pada Julai 2015 antara Iran dengan negara kuasa dunia iaitu Britain, China, Perancis, Rusia, AS serta Jerman.

    Beliau menyifatkan perjanjian yang dicapai semasa pentadbiran bekas presiden AS Barack Obama, "memalukan" negara dan memberikan bayangan mungkin tidak akan memperakui semula perjanjian itu pada pertengahan Oktober.

    Menurut perjanjian nuklear Iran atau secara rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), semua sekatan berkaitan nuklear yang dikenakan ke atas Iran ditarik balik jika negara itu terbukti mematuhi perjanjian dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ucapan Sulung Trump Di Perhimpunan Agung PBB Sasarkan Korea Utara , Iran "