• 'Ubat Bunuh Bapa'

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    KHARTOUM: Ubat kegunaannya untuk menyembuhkan penyakit namun lain pula ceritanya dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun apabila menyalahkan ubatan sebagai punca bapanya meninggal dunia.

    ‘Medicine kill my father’ (ubat bunuh bapa saya), itu yang keluar dari mulut Abdul Rahman Aiskandar ketika ditanya oleh wartawan punca bapanya Aiskandar Zachariah, 40, meninggal dunia dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia serta dua abangnya menjadi yatim dalam sekelip mata.

    Walaupun masa diperuntukkan di Kampung Sehren di sini pada Misi Ibadat Korban Global Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) tidak lama disebabkan perlu menghabiskan korban 20 lembu dan tiga unta di 18 kampung dalam masa tiga hari, wartawan sempat bertanyakan soalan kepada kanak-kanak malang ini.

    Perbualan dengan kanak-kanak yang boleh berbahasa Inggeris itu bermula sebaik dia meminta wartawan untuk mengambil gambarnya selepas melihat juruvideo, Fuad Zamir mengambil gambar ibadat korban dijalankan pihak Muslim Care.

    Menurut Abdul Rahman, bapanya yang bekerja sebagai pengembala kambing itu dipercayai pergi ke klinik swasta di bandar Khartoum selepas diserang penyakit demam panas.

    Katanya, doktor merawat bapanya dipercayai memberikan suntikan ubat untuk menurunkan demam panas itu namun dia mendakwa enam jam selepas pulang dari klinik bapanya semakin menggigil sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    “Umi yang memberitahu ubat dari klinik berkenaan menyebabkan bapa mati dan saya ketika itu tidak tahu sangat kerana baru berusia enam tahun, kini kami tiga beradik terpaksa bergantung hidup dengan umi.

    “Disebabkan itu, saya dan semua ahli keluarga tidak percayakan ubat dari klinik lagi,” katanya.

    Wartawan pada mulanya meragui kenyataan kanak-kanak itu memandangkan usianya baru lapan tahun dan cuba meminta ke rumahnya bagi menemui ibunya namun menurut kanak-kanak itu jarak rumahnya agak ke dalam dengan jarak masa berjalan setengah jam.

    Masa yang suntuk menyebabkan hajat ke rumah kanak itu tidak kesampaian namun wartawan sempat bertanyakan kisah keluarga kanak-kanak itu daripada penduduk kampung di lokasi ibadat korban itu dijalankan.

    Jelas apa yang diceritakan kanak-kanak itu benar, ia diakui seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Othman yang memberitahu bapa kanak-kanak itu meninggal dunia dipercayai akibat kesilapan ubat diberikan doktor.

    Katanya, bapa kanak-kanak itu diserang demam panas dan doktor dipercayai memberi suntikan ubat yang salah sehingga menyebabkan suhu badan bapa kanak-kanak itu meningkat sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

    “Tiada tindakan diambil keluarga kanak-kanak itu terhadap klinik berkenaan kerana keluarga itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

    Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu dia datang ke kawasan itu bersama rakan untuk melihat penyembelihan lembu kerana sejak kecil lagi dia dibawa ke kawasan itu oleh arwah bapanya pada setiap Aidiladha.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ubat Bunuh Bapa' "