• Tun M Tidak Tahu Jumlah Kerugian

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, tidak mengetahui jumlah kerugian mata wang asing yang dialami negara pada tahun 1990 hingga 1994.

    Ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pernah diberikan sebarang dokumen bertulis.

    Bekas perdana menteri itu berkata, beliau hanya mengetahui mengenai jumlah kerugian urus niaga mata wang asing ketika ia dibentangkan di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan.

    "Beberapa bulan selepas pembentangan di Parlimen, saya ada berjumpa dengan Anwar dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert di Pejabat Perdana Menteri, sekitar 1993.

    "Bagaimanapun, saya tidak ingat angka RM30 bilion, saya hanya ingat RM5 bilion disebut. Malah, saya juga hanya dimaklumkan secara lisan," katanya di hadapan panel lima suruhanjaya siasatan, di sini, hari ini.

    Dr Mahathir juga berkata, BNM tidak mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk melapor kepadanya, malah beliau tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan eksklusif bank pusat itu.

    Terdahulu, Dr Mahathir tiba kira-kira jam 10.45 pagi bagi memberi keterangan di prosiding suruhanjaya siasatan, yang bermula seawal jam 9 pagi.

    Suruhanjaya itu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, bahawa bank pusat kerugian lebih AS$10 bilion pada awal 1990-an dalam perdagangan mata wang asing. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M Tidak Tahu Jumlah Kerugian "