• Tun M Terlepas Pandang 22 tahun

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Percaturan politik Tun Dr Mahathir Mohamad yang aktif berkempen menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak dengan pelbagai tuduhan liar dilihat satu cubaan mengelirukan rakyat terhadap tindakan ketika berada di tampuk kekuasaan selama 22 tahun.

    Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata pengerusi gabungan pakatan pembangkang itu juga sanggup berkempen dengan meletakkan kesalahan kepada individu yang sudah meninggal dunia walaupun berupaya mengubah tindakan itu ketika berkuasa semata-mata kerana dendam terhadap pengganti beliau.

    Beliau merujuk tindakan Dr Mahathir yang menyalahkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kononnya berlaku persetujuan berat sebelah hasil penggubalan Akta Pembangunan Petroleum pada 1974.

    Ia susulan pelancaran manifesto pakatan pembangkang di Sarawak baru-baru ini yang menjanjikan kenaikan royalti minyak dan gas Sarawak dan Sabah daripada lima peratus kepada 20 peratus jika pakatan itu berjaya menawan Putrajaya.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang meminta rakyat menilai sejauh mana keikhlasan Dr Mahathir dalam mengambil tindakan kerana bekas Perdana Menteri itu kini dilihat terkeliru dan cuba mengelirukan masyarakat.

    "Dan sudah tentu, alasan yang akan diberikan beliau (Dr Mahathir) hanyalah sekadar 'terlepas pandang'," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Budiman berkata, antara slogan dimainkan pakatan pembangkang khususnya Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sepanjang kempen menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri adalah untuk mengubah dan membebaskan Malaysia dari gejala rasuah yang didakwa dilakukan kepemimpinan tertinggi negara.

    Bagaimanapun, beliau berkata, secara realitinya, tindakan Dr Mahathir itu sangat mengelirukan kerana rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dituduh dan akan dibicarakan bagi kesalahan rasuah.

    "Dalam masa Dr Mahathir membuat pelbagai tuduhan liar terhadap Perdana Menteri, sikap 'double standard' (pilih kasih) beliau terhadap kes membabitkan Guan Eng adalah sangat mendukacitakan.

    "Bagaimana beliau boleh bercakap soal menghapuskan rasuah sedangkan orang yang duduk bersebelahan beliau adalah orang yang dituduh kerana kesalahan itu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M Terlepas Pandang 22 tahun "