• Tuduh Kerajaan Guna Duit KWSP Beli Pesawat Hanya Fitnah

    Published: Saturday, 16 September 2017
    A- A+


    BATU KURAU - Segala tohmahan yang dilakukan pembangkang terhadap tindakan kerajaan yang akan membuat pelaburan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) adalah fitnah semata-mata.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap keputusan itu sebenarnya hanya untuk merosakkan pemikiran rakyat.

    Menurutnya, tindakan tersebut adalah untuk memecahbelahkan masyarakat yang ada hari ini.

    "Hal ini kerana, mereka tahu apabila berlakunya perpecahan, maka akan lahirnya perasaan tidak yakin terhadap kerajaan sedia ada sekarang," katanya pada sidang media selepas sambutan Fiesta Larut 2017, di Astaka Batu Kurau, di sini hari ini.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata, seharusnya rakyat sedar bahawa segala keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk penambahbaikan jangka masa panjang.

    "Sebelum keputusan itu dibuat, pelbagai analisis dan fakta dari segi pertumbuhan ekonomi termasuk semua perkara negatif telah dibincangkan.

    "Rakyat perlu sedar bahawa pembangkang kerjanya hanya untuk merosakkan pemikiran rakyat," katanya.-SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Tuduh Kerajaan Guna Duit KWSP Beli Pesawat Hanya Fitnah "