• Tuah Bagi Sarikei, Dipilih Perkampungan Digital Dan Taman Agro

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    SARIKEI : Dengan pemilihan sebagai Kampung Digital dan Taman Agro (Agro Park) seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beberapa hari lepas merupakan tuah bagi penduduk Sarikei terutama yang terlibat sebagai usahawan pertanian.

    Exco Pemuda PBB N.41 Kuala Rajang, Aliff Omar Yunus berkata, pemilihan tersebut merupakan landasan terbaik untuk usahawan muda mempromosi serta mengembangkan produk dengan lebih efektif selari dengan usaha kerajaan menjayakan ekonomi digital.

    Aliff Omar Yunus
    "Peluang sebegini harus direbut oleh penduduk dan anak muda bandar supaya menggunakan sepenuhnya prasarana yang diusahakan kerajaan agar pendapatan hidup dapat dipertingkatkan.

    "Apa lagi bila Taman Agro diwujudkan, penduduk Sarikei berpeluang menceburi bidang pertanian lebih aktif lagi di samping pelbagai bantuan dan teknologi pertanian terkini dapat dimanafaatkan oleh pengusaha pertanian," katanya kepada Sarawakiana

    Tambah Aliff lagi, ekonomi digital turut berperanan mengembangkan hasil pertanian di Taman Agro untuk mempertingkatkan pasaran produk pertanian yang lebih luas lagi serta mendapat jolokan sebagai 'Food Busket' Sarawak.

    Menurut Mohd Yassar Raffie, pesara kerajaan, sebelum ini Sarikei hanya menjadi persinggahan atau laluan untuk ke bandar lain dan tidak memiliki aktiviti ekonomi yang menarik minat pelabur.
    Mohd Yassar Raffie
    "Dengan wujudnya perkampungan digital dan Taman Agro, tidak mustahil bandar Sarikei akan menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar.

    "Ini kerana, perkembangan digital akan menarik pelabur luar dan usahawan baru pertanian yang terlibat dalam Taman Agro serta penduduk sekitar," katanya.

    Beliau berkata, penduduk Sarikei yang terdiri daripada pelbagai kaum amat bertuah kerana akan mendapat manfaat dan mampu menjadi bandar yang menyumbang hasil pertanian terbesar serta akan meningkatkan taraf hidup keseluruhan penduduk. - Sarawakiana
  • No Comment to " Tuah Bagi Sarikei, Dipilih Perkampungan Digital Dan Taman Agro "