• Tren MMMSL Tamat Operasi, Kendali 1.5 Juta Penumpang

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    MAKKAH – Selepas tujuh hari beroperasi sejak 29 Ogos lalu dan membawa kira-kira 1.5 juta penumpang yang terdiri daripada jemaah haji, tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) pada Isnin menamatkan perkhidmatannya seiring dengan berakhirnya musim haji tahun ini.

    Ia sekali gus menandakan perkhidmatan tren itu akan ‘berehat’ panjang dan hanya akan beroperasi semula pada musim haji akan datang.

    Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang mengendalikan operasi tren itu sejak 2015 sekali lagi berjaya mempamerkan prestasi cemerlang menguruskan pengangkutan tersebut yang diiktiraf sebagai perkhidmatan tren paling sibuk dan terpadat.

    Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), (anak syarikat Prasarana yang mengendalikan MMMSL), Masnizam Hisham berkata pengendalian operasi pada tahun ini berjaya mencatatkan 112 peratus kadar pergerakan tren meningkat berbanding 110 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

    “Walaupun Prasarana berhadapan cabaran keadaan cuaca panas dan pertambahan jumlah penumpang berbanding tahun lepas, tetapi dalam masa tujuh hari beroperasi MMMSL berjaya membawa 1.5 juta penumpang, meningkat berbanding kira-kira 1.1 juta penumpang tahun lalu.

    “Daripada maklumat yang kita terima daripada media-media Arab Saudi dan penumpang sendiri, ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya kepada media Malaysia selepas melepaskan tren MMMSL terakhir di Stesen Jamarat (Mina 3) di sini pada Isnin.

    Katanya operasi kali ini juga mendapat maklum balas positif daripada pihak berkuasa Arab Saudi termasuk Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam (PTA) negara itu yang merakamkan penghargaan kepada Prasarana kerana berjaya melicinkan pergerakan jemaah haji.

    “Presiden PTA, Dr Rumaiah al-Rumaiah sangat berpuas hati, malah semasa datang melawat operasi MMMSL, beliau melahirkan keyakinan dengan kebolehan yang kita ada dan Alhamdulillah Prasarana telah membuktikan bahawa kita mampu melakukan lebih baik daripada tahun lepas,” katanya.

    Ditanya sama ada Prasarana telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi untuk menyambung kontrak pengendalian operasi MMMSL, Masnizam berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian dan buat masa ini Prasarana mahu menumpukan kepada baki tempoh kontrak sedia ada.

    Beliau bagaimanapun kekal optimis untuk Prasarana mendapatkan peluang terlibat dengan mana-mana projek di Arab Saudi pada masa akan datang, memandangkan syarikat itu telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam pengendalian MMMSL.

    “Prasarana masih mempunyai baki kontrak sehingga 31 Mei tahun depan dan untuk tempoh sehingga berakhir kontrak itu, Prasarana akan meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan tren tersebut,” katanya.

    Prasarana memperoleh kontrak pengendalian tren itu yang bernilai SR800 juta (RM911 juta) pada tahun 2015 dan operasi pada musim haji tahun ini adalah yang terakhir berdasarkan kontrak tersebut selepas turut mengendalikan perkhidmatan itu untuk dua musim haji sebelum ini.

    MMMSL hanya beroperasi selama tujuh hari khusus pada musim haji bagi membawa jemaah ke destinasi-destinasi berkaitan ibadah itu iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tren MMMSL Tamat Operasi, Kendali 1.5 Juta Penumpang "