• Tragedi Tahfiz: Mana Ibu Bapa Suspek?

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    Selepas pelbagai persoalan dilontarkan berikutan tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Dato Keramat pada kHamis lalu, polis mengesahkan kejadian yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden adalah berpunca daripada perbuatan khianat.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh pada Sabtu dipetik media sebagai berkata, motif tindakan berpunca daripada ejek-mengejek antara tujuh suspek yang ditahan dan sekumpulan pelajar pusat tahfiz itu.

    Dengan pendedahan tersebut dan tangkapan ke atas semua tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun itu, kes berkenaan disifatkan polis sebagai sudah diselesaikan.

    Namun, perlu diakui bahawa bukan mudah untuk meredakan kemarahan netizen terhadap perbuatan kanak-kanak berkenaan sehingga ada dalam kalangan mereka masih melemparkan kata-kata kesat selain pelbagai persoalan ditimbulkan termasuklah, di mana ibu bapa suspek?

    Mengulas isu tersebut, Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada ibu bapa suspek kerana mereka juga kini berdepan dengan tekanan ekoran desakan dan kecaman yang diterima ekoran perbuatan anak-anak mereka.

    Mengakui bahawa jalan yang terbaik untuk meredakan ‘kemarahan’ pelbagai pihak adalah ibu bapa yang terlibat perlu tampilkan diri, Mariani berkata, tragedi yang berlaku perlu ditangani secara berhemah dan rasional oleh semua pihak.

    “Kalau kita lihat contoh di luar negara, di mana anak yang melakukan kesalahan, ibu bapa akan disaman. Contohnya, di United Kingdom (UK), kes pecah rumah misalnya, ibu bapa akan dipanggil dan dikenakan hukuman (atas kesalahan anak mereka).

    “Jadi, di sini perlu ibu bapa tampil untuk membuat sesuatu kerana bagi saya, apabila berlaku hal sebegini, pastinya ada adik-beradik lain yang melihatnya dan kita tidak mahu ahli keluarga itu merasa malu diaibkan kerana perbuatan suspek.

    “Wakil keluarga perlu tampil berjumpa dengan keluarga yang terlibat atau pihak berwajib supaya kita boleh jadikan insiden ini sebagai sebagai satu iktibar,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

    Namun jelasnya dalam hal ini, netizen juga memainkan peranan penting di mana mereka perlu menghentikan segala kecaman terhadap ibu bapa suspek jika benar mahu melihat insiden ini tidak berulang pada masa akan datang.

    “Jangan keterlaluan dalam melemparkan kata-kata, perlu ada simpati (kepada ibu bapa suspek), bayangkan sekiranya ia berlaku kepada anak kita.

    “Mungkin ada dalam kalangan netizen yang boleh berfikir secara rasional, berilah kata-kata nasihat. Mungkin ibu bapa takut untuk tampilkan diri dan mereka memilih untuk mendiamkan diri dan hanya membaca apa yang ditulis di media sosial.

    “Jadi, kalau setiap kali mereka tengok hanya kecaman dan hinaan, maka mereka tidak akan terus tampil,” katanya.

    Mariani menambah, golongan berpengetahuan dan berpengalaman seperti kaunselor perlu memberikan nasihat dan panduan kepada ibu bapa yang terlibat supaya mereka tahu tindakan susulan yang boleh dilakukan, berbanding hanya terus menyalahkan mereka terhadap insiden itu.

    Ini kerana, beliau berkata secara psikologi tindakan yang dilakukan tujuh suspek adalah dipengaruhi oleh perasaan dendam, cemburu serta keinginan untuk menunjukkan kehebatan masing-masing sehingga menyebabkan kanak-kanak itu gagal mengawal tingkah laku.

    “Secara fitrah golongan remaja ini ingin bersaing, menunjukkan identiti dan membuktikan bahawa mereka boleh berfikir secara rasional berbanding waktu kanak-kanak.

    “Mereka ada misi mereka (membalas dendam) yang mana ibu bapa sendiri pun tidak tahu. Malah, mereka boleh bertindak bijak, apabila berlaku sahaja kebakaran, suspek seolah-olah menjadi penonton, yang mana mereka ingin tahu apa yang berlaku.

    “Ini antara watak-watak yang dimainkan (dalam diri kanak-kanak terlibat), dalam kata lain mereka ini remaja yang bermasalah, namun di sebalik masalah itu, mereka boleh mencetuskan satu perancangan yang begitu nekad dan agresif,” jelas Mariani.

    Walau bagaimanapun, tegas Mariani, perwatakan agresif yang dimiliki suspek boleh dikawal sekiranya semua pihak menjalankan tanggungjawab dan bekerjasama, dengan tidak sepenuhnya menyerahkan kepada ibu bapa terlibat.

    “Mereka boleh dikawal sejak dari kecil lagi dan siapa yang bertanggungjawab, ibu dan bapa. Bukan nak menuding jari, masyarakat juga boleh memainkan peranan penting kerana mereka juga melihat kanak-kanak itu membesar.

    “Di laman sosial, netizen perlu bertindak dengan memberi komen yang lebih konstruktif, supaya mereka yang mempunyai anak remaja yang bermasalah, boleh menggunakan pakai nasihat tersebut,” katanya.

    Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu identiti ibu bapa suspek didedahkan sebagai memberikan pengajaran di atas insiden tragis itu.

    Musa berkata, adalah tidak wajar untuk masyarakat menghukum ibu bapa atas jenayah yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

    “Tidak boleh dedahkan identiti ibu bapa, kerana perbuatan itu tidak melibatkan mereka. Cuma pada pendapat saya, ibu bapa ini perlu berjumpa dengan keluarga-keluarga mangsa, berbincang dan memohon maaf dengan mereka,” katanya.

    Dari segi tindakan perundangan terhadap ibu bapa pula, Musa menjelaskan kebiasaannya sukar untuk mana-mana pihak menuntut sebarang pampasan atas kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang lain (anak).

    Bagaimanapun, Musa menasihatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk memutuskan hukuman sewajarnya terhadap pesalah.

    Jadi, tatkala kita berdepan saat-saat sukar ini, ada betulnya untuk masyarakat memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mengadili kes ini secara berhemah. Ruang perlu diberikan kepada ibu bapa suspek untuk mengambil inisiatif termasuk tampil membuat permohonan maaf.

    Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anaknya melakukan jenayah, namun tiada juga ibu bapa yang sanggup kehilangan anak. Tiba masa untuk masyarakat memikirkan penyelesaian kepada masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak, dan bukannya mencari kesalahan. Namun, semua bermula di rumah.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Tragedi Tahfiz: Mana Ibu Bapa Suspek? "