• Tolong Serah Rakaman CCTV : Polis

    Published: Friday, 1 September 2017
    A- A+

    SHAH ALAM - Polis meminta kerjasama pemilik premis berdekatan Balai Polis Pinggiran USJ yang ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan kes bunuh seorang anggotanya dalam kejadian Khamis.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata sebarang rakaman CCTV yang diserahkan kepada pihak penyiasat boleh membantu merungkai kes pembunuhan Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditemui dengan kesan luka tetakan di belakang kepala dan sedas tembakan di belakang badannya, awal pagi Khamis.

    Mayat Valentino ditemui berdekatan Kaunter Pertanyaan di balai polis berkenaan oleh rakan setugas dari Unit Peronda yang baru pulang daripada membuat rondaan, kira-kira jam 3.25 pagi.

    Beliau berkata rakaman CCTV kediaman berdekatan penting untuk siasatan polis dalam kes itu.

    "Siasatan kes ini masih lagi berjalan. Tolong berikan kami ruang untuk menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita.

    Pada masa sama, Mazlan turut menafikan dakwaan bahawa senjata api yang dibekalkan kepada Valentino iaitu Walther P99, yang dipercayai diambil penyerangnya, sudah ditemui.

    Kira-kira 16 jam selepas serangan itu, seorang suspek berusia 34 tahun ditahan ketika mahu menaiki penerbangan ke Sibu di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 petang semalam.

    Suspek yang berasal dari Sarawak ditahan sepasukan anggota polis yang kemudian diserahkan kepada Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Tolong Serah Rakaman CCTV : Polis "