• Tiada Pemain Lebih Besar Berbanding BAM: Norza

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Masih tiada sebarang keputusan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sama ada mahu memisahkan atau mengekalkan gandingan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

    Sebaliknya keputusan muktamad hanya akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang dijadual berlangsung minggu depan.

    Namun kali ini, badan induk badminton negara itu dilihat bersedia melakukan keputusan drastik termasuk untuk memisahkan pasangan berkenaan demi kepentingan pihak persatuan dan peminat.

    Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika ditanya adakah pihaknya berani untuk melakukan keputusan sedemikian berkata: "Tiada pemain yang lebih besar berbanding BAM.

    "Kita selalu melihat BAM adalah sebuah institusi tetapi mana-mana pemain tidak boleh lebih besar daripada BAM.

    "Kita melayan semua pemain secara sama rata. Kalau ada masalah mereka perlu beritahu dan kami akan cuba selesaikan.

    "Kalau masalah itu membabitkan diri mereka sendiri, maka mereka harus tampil ke hadapan dan kita tidak akan cuba untuk membuat keputusan luar biasa hanya semata-mata kerana mereka berdua (V Shem-Wee Kiong)," katanya.

    Norza berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kejohanan Dunia dan Sukan SEA, hari ini.

    Jelas Norza, dalam soal untuk membuat keputusan penting itu, semua perkara perlu dilihat secara teliti oleh Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen dan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit sebelum ia dibincangkan pada mesyuarat C&T.

    "Prestasi mereka berdua ketika di Kejohanan Dunia sememangnya tidak boleh diterima baik untuk BAM atau pun peminat," katanya.

    Beregu yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 itu berdepan situasi sukar apabila terus beraksi hambar termasuk tersingkir seawal pusingan kedua kepada beregu bukan pilihan dari Korea Selatan, Chung Eui Seok-Kim Dukyoung di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Pemain Lebih Besar Berbanding BAM: Norza "