• Tiada Kenaikan Cukai Dalam Bajet 2018

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi bayangan tiada sebarang kenaikan cukai atau pengenalan cukai baharu kepada rakyat pada pembentangan Bajet 2018 bulan depan.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Bajet 2018 dijangka lebih terarah kepada kaedah bagi kerajaan mengurangkan beban dan tekanan dialami rakyat, khususnya membabitkan kos sara hidup.

    Katanya, Bajet 2018 juga dijangka lebih positif berbanding pembentangan tahun lalu melihat kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif, iaitu 5.6 peratus hingga 5.8 peratus, masing-masing pada suku pertama dan kedua tahun ini.

    Beliau turut memberi bayangan kenaikan harga minyak dunia yang memberi impak positif pada pendapatan negara, dijangka menyumbang pada inisiatif positif dalam Bajet 2018.

    "Kita pun tidak berhasrat nak kenakan cukai lagi pada rakyat...Cukuplah buat masa ini.

    "Saya tahu rakyat menghadapi banyak tekanan dan Perdana Menteri akan fikirkan pelbagai perkara untuk mengurangkan beban kos sara hidup kali ini. Ia bergantung pada pendapatan negara.

    "Jika purata kenaikan harga minyak tahun ini mencecah AS$57, ini bermakna kita akan memiliki pendapatan tambahan sekitar RM900 juta. Sebarang pertambahan (dalam Bajet 2018) bergantung pada pendapatan negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar GetCover di sini, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GetCover, Paul Khoo.

    Johari berkata, ekonomi negara secara asasnya dalam keadaan baik, melihat kepada perkembangan ekonomi dunia serta jumlah dagangan negara yang kini mencecah RM1.5 trilion, pertumbuhan eksport kepada dua digit serta Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kira-kira RM1.2 trilion.

    "Bagaimanapun, kita perlu berhati dengan pelbagai faktor lain di peringkat dunia, khususnya tekanan geopolitik di Korea Utara yang mencipta ketidaktentuan pada ekonomi global, khususnya rantau kita," katanya.

    Terdahulu, beliau merasmikan pelancaran aplikasi GetCover yang membolehkan pengguna mendapatkan insurans permotoran daripada penyedia perkhidmatan insurans menerusi telefon pintar.

    Johari berkata, aplikasi itu tepat pada masanya dengan langkah kerajaan menghapuskan kadar tarif insurans motor, di mana liberalisasi premium insurans berkenaan bergantung pada faktor risiko.

    "Menerusi GetCover, pengguna dapat membandingkan kasar premium yang perlu dibayar antara insurans yang ditawarkan.

    "GerCover juga akan bekerjasama dengan program eRezeki dengan menyediakan 16,000 peluang pekerjaan sambilan," katanya. - Bh Online

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Kenaikan Cukai Dalam Bajet 2018 "