• Thanabalan Ikon Sukan Yakult

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pemain Bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, N Thanabalan dipilih sebagai Ikon Sukan Yakult atas kecemerlangannya pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

    Anugerah kepada pemain kelab FELCRA FC itu diberikan oleh pengeluar minuman kultur probiotik terkemuka dunia, Yakult (M) Sdn Bhd sebagai inisiatif dalam menyokong kecemerlangan sukan negara.

    Dalam satu kenyataan kepada BH Sukan, Yakult berkata sebagai ikon sukan syarikat berkenaan, Thanabalan menerima trofi, sijil penghargaan dan tajaan minuman kultur itu selama setahun untuk diri serta seluruh ahli keluarganya.

    Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, berkata pemilihan Thanabalan sebagai penerima anugerah itu bukan saja atas kecemerlangannya di KL2017, malah atas nilai jati diri dalam menjaga keluarganya dengan baik.

    Katanya, perkara itu adalah nilai sangat berharga dalam diri seseorang atlet yang berjaya selaras dengan falsafah Yakult iaitu mementingkan kesihatan sebagai asas kepada kebahagiaan seseorang.

    "Selain itu, ia juga sebagai tanda sokongan Yakult Malaysia ke arah pembangunan sukan negara.

    "Yakult terbukti sebagai minuman baik untuk mengembalikan tenaga selepas penat bersukan yang terbukti melalui beberapa kajian yang di buat oleh universiti di Eropah.

    "Justeru, pemilihan NThanabalan sebagai Ikon Sukan Yakult adalah bertepatan dengan fungsi minuman ini yang jelas dapat membantu seorang atlit untuk kekal cergas selepas bersukan, " kata Hamada.

    Sebelum ini Yakult melantik atlet terjun negara, Pandelela Rinong sebagai duta syarikat minuman itu, selain menjadi minuman rasmi Institut Sukan Negara yang membabitkan penajaan sebanyak 100,000 Yakult Ace Light untuk tempoh setahun.

    Dalam pada itu, Thanabalan ketika ditemui melahirkan rasa terharu dengan pemilihannya sebagai ikon Yakult dan berharap akan terus cemerlang bersama skuad B-22 kebangsaan serta FELCRA FC.

    "Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini kerana ia adalah satu bonus kepada saya. Buat masa ini saya fokus untuk membantu pasukan FELCRA FC layak ke Liga Perdana dan selepas itu baru saya akan memikirkan tentang apa-apa tawaran yang datang," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Thanabalan Ikon Sukan Yakult "