• Thailand Sokong Pebangunan Di Kawasan Sempadan

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+


    HATYAI – Thailand menyokong perancangan kerajaan Malaysia membangunkan Jalan Keselamatan (Kesban) di sempadan Malaysia/Thailand dari Padang Besar di Perlis hingga Bukit Kayu Hitam di Kedah bagi merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan.

    Timbalan Gabenor Songkhla, Anuchit Trakulmututa berkata kerajaan Thai turut mengambil perhatian projek pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar.

    Beliau berkata kerajaan Thai menyokong sebarang projek yang membawa keuntungan kepada kedua-dua negara khususnya rakyat.

    “Untuk itu kabinet kerajaan Thai telah meluluskan projek pembinaan landasan kereta api berkembar dari Surathani ke Hatyai dan Padang Besar dan hanya menunggu peruntukkan bagi melaksanakannya,” katanya kepada Bernama.

    Anuchit ditemui selepas mengadakan perbincangan mengenai isu-isu semasa dengan kerajaan Perlis yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani dan Hubungan Sempadan, Ahmad Bakri Ali di Pejabat Gabenor Songkhla di sini hari ini.

    Anggota-anggota Exco Negeri Perlis, Datuk Mat Rawi Kassim, Mat bin Hassan, Nurulhisham Yaakob, Hajah Rela Ahmad dan Asmaiza Ahmad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Zamri Khairuddin, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan turut hadir.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan kerajaan persekutuan akan membangunkan kawasan sempadan Malaysia/Thailand dari Padang Besar hingga Bukit Kayu Hitam iaitu hampir 29 kilometer.

    Projek itu selain untuk mengurangkan penyeludupan juga akan menyemarakkan aktiviti ekonomi yang akan meningtkan taraf hidup rakyat Perlis khususnya.

    Sementara itu Ahmad Bakri berkata mesyuarat exco semalam dimaklumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan bahawa Kementerian Pengangkutan memberi pertimbangan positif pembinaan PIP setelah diadakan perbincangan antara Menterinya Seri Liow Tiong Lai dan Azlan baru-baru ini.

    Katanya pembesaran Kompleks Imigresen dan Kastam (ICQ) Padang Besar yang menelan kos RM24.9 juta bagi mengurangkan kesesakan di ICQ itu pula dijangka siap pada Mac tahun depan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Thailand Sokong Pebangunan Di Kawasan Sempadan "