• Teknologi Drone Bantu Kerajaan Pantau Pembalakan Haram

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    KUCHING : Inisiatif GEODRONE iaitu teknologi dron dan GIS (Sistem Maklumat Geografi) bagi memantau aktiviti perhutanan di negeri ini mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah pembalakan haram.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata Sarawak tidak lagi boleh bergantung kepada cara konvensional dalam pemantauan aktiviti serta pengurusan sumber kayu hutan yang terdapat di negeri ini.

    “Teknologi ini dapat membantu memantau aktiviti perhutanan di negeri ini dengan lebih cekap dan meluas serta memastikan sumber kayu hutan kita diurus dengan baik.

    “Kita sedia maklum bahawa sektor perhutanan merupakan sektor penting dan menyumbang banyak kepada negeri selain sektor minyak dan gas,"

    GEODRONE telah dilancarkan oleh Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) bagi memastikan pengurusan hutan lestari di Sarawak. Jenis-jenis dron yang ada termasuk Flying Wing (AIRIS T6), Skywalker dan Hexa Multirotor (Tarot T810).

    "SFC harus menggunakan teknologi ini dengan sebaiknya untuk membanteras kegiatan pembalakan haram, menguruskan serta memulihara sumber-sumber hutan kita dengan lebih baik,” tegas Abang Johari.

    Untuk memastikan kelestarian hutan, kerajaan telah melaksanakan dasar hutan industri di mana ia tidak lagi bergantung kepada hutan utama di negeri ini.

    Beliau turut menggesa SFC menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggalakkan lebih banyak aktiviti hiliran.

    “Saya amat percaya bahawa bagi mana-mana negara untuk bergerak ke hadapan anda perlu menekankan kepada R&D seperti yang dilakukan negara Jepun,"

    “Sebab itu penting untuk kita melihat R&D dan bagaimana meningkatkan sumber kayu kita dengan menanam spesies baharu untuk menghasilkan bahan mentah bagi kelestarian sektor hutan,” katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Teknologi Drone Bantu Kerajaan Pantau Pembalakan Haram "