• Taufan Irma, 6.3 Juta Penduduk Diarah Berpindah

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+

    MIAMI: Taufan Irma semalam membadai rangkaian pulau digelar Florida Keys dengan membawa angin kencang ke bandar di pantai barat negeri itu yang semuanya dikosongkan sebagai persediaan menghadapi bencana berkenaan.

    Ribut dengan kelajuan angin 215 kilometer sejam itu dinaikkan ke Kategori Empat ketika membadai Florida Keys, kata Pusat Taufan Kebangsaan AS.

    Seorang lelaki di Florida Keys juga dilaporkan maut dalam nahas jalan raya dipercayai mangsa pertama bencana itu.

    Puluhan ribu penduduk Florida mendapatkan perlindungan di pusat disediakan. Lebih 6.3 juta orang - hampir sepertiga penduduk negeri itu - diarahkan berpindah.

    Namun ada yang tidak sempat berpindah dan terpaksa berlindung di dalam kediaman sendiri untuk menghadapi antara taufan paling buruk dijangka melanda Florida itu. Amaran puting-beliung turut dikeluarkan di selatan dan tengah Florida.

    Sekurang-kurangnya 25 orang maut sejak Irma membadai kawasan Caribbean awal minggu lalu.

    Gabenor Florida, Rick Scott memberi amaran Irma mungkin lebih teruk daripada Taufan Andrew yang membunuh 65 orang pada 1992 dan berkata, semua 20.6 juta penduduk negeri itu patut berpindah ke tempat selamat.

    Irma membadai beberapa pulau di Caribbean sejak Rabu lalu, memusnahkan Barbuda serta St Barts dan St Martin, selain menyebabkan kerosakan teruk antara lain di Puerto Rico, Republik Dominika dan Haiti.

    Ia disusuli ribut Taufan Jose yang pada mulanya dibimbangi menyebabkan lebih banyak kemusnahan, tetapi tanpa disangka menjadi lemah sebelum menghala ke utara meninggalkan kawasan berkenaan.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Taufan Irma, 6.3 Juta Penduduk Diarah Berpindah "