• Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Letak Jawatan

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah mengemukakan surat peletakan jawatannya daripada Lembaga Pengarah dana itu berkuat kuasa pada 30 September 2017.

    Dalam satu kenyataan hari ini, dana pelaburan strategik kerajaan itu berkata surat peletakan jawatan berkenaan telah dikemukakan pada mesyuarat Lembaga Pengarah ke-84 yang berlangsung hari ini.

    “Tan Sri Nor Mohamed juga akan mengosongkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (berkuat kuasa) pada tarikh sama,” kata kenyataan itu.

    Nor Mohamed telah berkhidmat dengan Lembaga Pengarah itu selama 15 tahun dan menjadi ahli paling lama dan satu-satunya Timbalan Pengerusi dalam sejarah Khazanah selama 23 tahun.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Khazanah Nasional, turut merakamkan terima kasih di atas sumbangan Nor Mohamed terhadap Khazanah, terutama usaha beliau dalam Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan selama 10 tahun.

    “Ahli Lembaga Pengarah menerima keputusan itu dan kita mendoakan yang terbaik untuk beliau,” kata Perdana Menteri.

    Nor Mohamed turut memainkan peranan utama bagi kejayaan pelbagai inisiatif, termasuk penambahbaikan dan transformasi Khazanah dari 2004 sehingga sekarang, Program 10 tahun Syarikat Berkaitan Kerajaan dari 2004 hingga 2015, pembangunan pelbagai koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia serta penubuhan termasuk Yayasan Hasanah dan Institut Penyelidikan Khazanah.

    Kesemua inisiatif itu dan usaha lain berkenaan dilaksanakan menerusi kapasiti beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah Khazanah serta menerusi kedudukannya dalam pelbagai perkhidmatan awam termasuk Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri (2000 hingga 2003), Menteri Kewangan Kedua (2004 hingga 2009) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (2009 hingga 2013). – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Letak Jawatan "