• Taman Alamanda Matang Diisytihar Kawasan Baharu Jangkitan Rabies

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    KUCHING: Taman Alamanda Indah, Jalan Matang, di sini diisytihar sebagai kawasan baharu jangkitan wabak Rabies.

    Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

    Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan wabak tersebut setakat ini sebanyak 25 buah tempat, susulan sampel daripada dua anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh pada 8 September lalu yang disahkan positif virus rabies.

    “Tujuan pewartaan kawasan tersebut adalah bagi meluaskan aktiviti pengoperasian pengesanan dan pencegahan wabak rabies dalam kawasan tersebut,” katanya.

    Pengisytiharan tersebut menjadikan jumlah tempat terjejas di bahagian Kuching sebagai empat, selepas Batu Lima, Jalan Semeba, Pasar Basar Sungai Maong dan Kampung Serikin di Bau.

    Di bahagian Serian, kawasan diwarta terjejas rabies adalah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, pekan Siburan, bandar Serian, Batu 45 Jalan Kuching-Sri Aman, Kampung Temong Mura di Tebedu, Kampung Entubuh di Tebedu dan Kampung Kuala di Gedung.

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan 25 kes gigitan terbaharu dilaporkan semalam, iaitu 10 daripadanya adalah di Serian, 10 di Kuching, dua di Samarahan dan tiga di Sri Aman, di mana dua daripadanya melibatkan kucing liar atau tidak bertuan, sekali gus menjadikan kes kumulatif gigitan haiwan dari 1 April hingga semalam berjumlah 3,386.

    Jabatan Kesihatan Negeri memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April hingga kini, segera melakukan pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

    Pada masa yang sama, orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menghindari gigitan haiwan terutama anjing dan sekiranya digigit, perlulah mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan. – Sarawakiana


  • No Comment to " Taman Alamanda Matang Diisytihar Kawasan Baharu Jangkitan Rabies "