• Tak Patah Semangat Walau Tempurung Kepala Pecah

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    KLANG: Walaupun terbabit kemalangan sebulan sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ia tidak melunturkan semangat Muhammad Hadil Amin Izwan Hadi, 12, untuk mendudukinya walaupun terpaksa memakai alat bantuan sokongan di tengkuk.

    Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang itu cedera selepas terbabit kemalangan ketika menunggang basikal untuk menunaikan solat hajat bagi menduduki UPSR di sekolah berkenaan, 17 Ogos lalu.

    Kejadian jam 7.30 pagi itu berlaku apabila rantai basikalnya tertanggal menyebabkannya hilang imbangan lantas terjatuh sebelum dilanggar kereta.

    Muhammad Hadil yang retak pada tempurung kepala serta tengkuk berkata, kejadian terbabit tidak mematahkan semangatnya untuk menduduki peperiksaan.

    “Saya akan tetap menjawab semua soalan biarpun tidak selesa kerana perlu sentiasa berdiri tegak dan sukar merehatkan kepala. Saya tidak akan mengaku kalah.

    “Namun, keadaan agak kekok kerana saya diasingkan dan tidak dapat bersama rakan lain,” katanya ditemui selepas peperiksaan itu di SK Rantau Panjang, semalam.

    Turut hadir Pengarah Pendidikan Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim.

    Kata Muhammad Hadil, dia mensasarkan untuk memperoleh keputusan 6A.

    Sementara itu, bapanya, Izwan Hadi Ahmad Tarmizi, 38, berkata, dia berbangga dengan semangat dan kecekalan anak sulung daripada tiga beradik berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tak Patah Semangat Walau Tempurung Kepala Pecah "