• Tahu Pula Takut Dipukul

    Published: Friday, 15 September 2017
    A- A+

    KUANTAN: “Bang tolong jangan pukul kami bang, kami janji tak buat lagi. Kalau abang semua tak pukul kami, baru kami buka pintu.”

    Itu rayuan dua pencuri berusia 27 dan 23 tahun meminta diri mereka tidak dicederakan sekumpulan 15 pemuda di Surau Al-Makmur Indera Mahkota 2, di sini, selepas ‘kantoi’ mencuri wang tabung surau berkenaan jam 2 pagi, semalam.

    Dalam kejadian itu, dua lelaki terbabit dikatakan mengumpil pagar besi di bahagian penghawa dingin surau berkenaan sebelum masuk ke dalam.

    Difahamkan, dua lelaki terbabit sempat mencuri wang RM36 daripada tabung diletakkan di dalam surau menggunakan dawai besi dilekatkan gula-gula getah.

    Penduduk, Firdaus Mohd Akhir, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum dimaklumkan beberapa rakan mengenai kejadian itu untuk meminta bantuannya menangkap dua pencuri terbabit.

    “Sebaik saya sampai di surau itu dua pencuri berkenaan dikepung 15 pemuda yang meminta mereka menyerah diri.

    “Bagaimanapun, mereka (pencuri) mengunci pintu surau dari dalam kerana bimbang kami menangkap dan mencederakan mereka. Kami beritahu jika mereka serah diri secara baik, mereka tidak akan diapa-apakan,” katanya.

    Firdaus yang menetap di kawasan taman perumahan itu sejak 10 tahun lalu berkata, hasil rundingan 15 minit dua lelaki terbabit akhirnya membuka pintu surau seterusnya menyerah diri.

    Katanya, penduduk yang menyoal siasat dua lelaki terbabit turut menemui beberapa not wang kertas daripada poket seluar mereka dan pencuri berkenaan turut mengaku pernah melakukan ‘kerja’ itu sudah beberapa kali.

    “Mereka (pencuri) mendakwa tidak bekerja selain turut mengaku mengambil dadah,” katanya.

    Firdaus berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak dilaporkan kepada polis atas sebab tertentu, namun ibu bapa dua lelaki terbabit turut dipanggil bagi mendapatkan penjelasan.

    “Saya harap kejadian seperti ini dapat dielakkan. Ibu bapa harus memainkan peranan bersama penduduk sekitar kerana ia membabitkan jenayah yang dilakukan penduduk di kawasan kejiranan ini juga. Seingat saya kejadian curi tabung surau di sini sudah puluhan kali berlaku dan yang menjadi kes polis baru sekali dua saja,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tahu Pula Takut Dipukul "