• Tahfiz: Sebahagian Remaja Ditahan, Didakwa Esok

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Sebahagian daripada tujuh remaja yang ditahan susulan kebakaran pusat tahfiz di Datuk Keramat baru-baru ini, akan dihadapkan ke mahkamah di sini esok.

    Tanpa mendedahkan bilangan sebenar mereka yang akan menghadapi pertuduhan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis telah melengkapkan siasatan berhubung tragedi 14 Sept yang mengorbankan 23 nyawa itu.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati hanya sebahagian daripada tujuh suspek terlibat secara langsung membakar pusat tahfiz itu.

    “Ada yang tidak terlibat secara aktif…contohnya mereka berada di lokasi kejadian atau berada ketika perbincangan.

    “Namun kami akan pastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang tidak terlibat secara aktif ini mengikut seksyen lain seperti (kesalahan) dadah atau lain-lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

    Ditanya mengenai proses pengumpulan bahan bukti kejadian yang menarik perhatian ramai itu, Noor Rashid berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya mengumpul lagi bahan bukti untuk mengukuhkan kes pendakwaan.

    “Selagi ada ruang…polis akan ambil tindakan dan teruskan siasatan jika ada petunjuk baharu,” katanya.

    Dalam pada itu, Noor Rashid berkata polis masih menyiasat kebocoran maklumat dan perincian penyiasatan berhubung kes kebakaran itu.

    “Kami masih menyiasat bagaimana maklumat itu boleh bocor, saya fikir kami perlu meningkatkan kesedaran kalangan pegawai kami kerana (kebocoran itu) mengganggu proses penyiasatan kami,” katanya.

    Kebakaran pusat tahfiz pada kira-kira 5.15 pagi itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden akibat terperangkap di asrama di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

    Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tahfiz: Sebahagian Remaja Ditahan, Didakwa Esok "