• Syarikat Multinasional Perlu Bantu Syarikat Tempatan - TPM

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu syarikat multinasional yang mempunyai kaitan dengan pemasaran produk halal membuka pintu kerjasama dengan syarikat tempatan bagi membantu syarikat kecil itu mengeluarkan produk sendiri, sekali gus berupaya bersaing di peringkat global.

    Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kementerian dan agensi termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Halal Development Corporation (HDC) dan Majlis Halal Malaysia memanggil pengurusan tertinggi syarikat multinasional terbabit untuk berbincang.

    Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan berikutan potensi industri halal global masih gagal diterokai sepenuhnya oleh syarikat tempatan terutama dalam isu standard piawaian antarabangsa.

    "Saya ingin cadangkan supaya syarikat tempatan mengetuk pintu syarikat multinasional untuk kita memasarkan produk dan perkhidmatan kita di peringkat global kerana saya sedia maklum ada syarikat mahu mengeluarkan produk sendiri tanpa mengetahui kaedah pengeluaran berstandard tinggi.

    "(Oleh itu) Saya arahkan MITI, HDC dan Majlis Halal Malaysia supaya memanggil CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) semua syarikat multinasional yang ada kaitan dengan pemasaran produk halal supaya duduk dengan saya (berbincang) dan membuka pintu apabila syarikat tempatan mengetuk pintu mereka... jika mereka tidak mahu, beritahu saya, saya tahu macam mana nak buat," katanya.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata demikian pada sesi Dialog Perdana Industri Halal 2017 sempena pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

    Dialog Perdana anjuran Halal Industry Development Corporation (HDC), agensi di bawah MITI bermatlamat mengumpul maklum balas, cadangan dan aspirasi daripada pihak berkepentingan mengenai hala tuju pembangunan industri halal negara ke peringkat lebih tinggi.

    Pengisian dan maklum balas daripada sesi dialog itu akan dibentangkan di sesi Makmal Pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 yang akan diadakan selama enam hari bermula Khamis ini.

    Sesi dialog itu dihadiri lebih 1.000 peserta mewakili pihak berkepentingan dalam industri halal Malaysia yang terdiri daripada sektor swasta. pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan penjawat awam.

    Kerajaan menerusi Majlis Halal Malaysia sedang mengendalikan rangka kerja yang akan memacu Malaysia melangkaui status sebagai Peneraju Halal Global pada 2020.Pada sesi sama, Timbalan Perdana Menteri turut membangkitkan tindakan rakyat yang merendah-rendahkan mutu produk keluaran tempatan.

    "Saya pernah menjadi Menteri Pertahanan, banyak produk berkaitan pertahanan dikeluarkan syarikat Malaysia mengikut piawaian NATO (Pertubuhan Perjanjian Altantik Utara) dan apabila produk itu dipasarkan di negara berkenaan, mereka bertanya ada atau tidak mana-mana agensi penguatkuasaan tempatan yang membeli produk dari syarikat itu.

    "Ini berlaku kerana kita sendiri yang merendah-rendahkan mutu keluaran produk kita, sikap ini harus diketepikan," katanya.

    Mengulas lanjut pada sidang media, Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan mengetuk pintu syarikat multinasional akan dilakukan secara situasi menang-memang tanpa ada paksaan dengan kerajaan menawarkan insentif termasuk ruang pasaran kepada pihak terbabit memperoleh keuntungan.

    Bagaimanapun, katanya tindakan itu tidak bermakna syarikat multinasional berkenaan perlu menyerahkan bahagian mereka kepada syarikat tempatan, sebaliknya kedua-dua pihak boleh membangunkan atau mengeluarkan produk jenama bersama.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan membangunkan Taman Industri Halal Nasional berpusat dalam usaha melaksanakan pengembangan produk dan perkhidmatan halal di negara ini, sekali gus mengoptimumkan potensi di peringkat global.

    Beliau berkata, penubuhan Taman Industri Halal Nasional itu memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam membangunkan industri halal negara sebagai persediaan menuju ke era revolusi industri keempat.

    "Taman halal itu ibarat seperti Cyberjaya untuk pengembangan teknologi maklumat dan tidak semestinya lokasi di Lembah Klang dengan kos pemilikan tanah yang mampu milik.

    "Kita sudah ada 23 Taman Halal di seluruh negara dan akan terus diperkukuhkan, cuma untuk Taman Industri Halal Nasional, ia untuk memperlihatkan sikap serius kerajaan dalam melakukan pengembangan produk halal," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Syarikat Multinasional Perlu Bantu Syarikat Tempatan - TPM "