• Syarikat GLC Arab Saudi Bakal Bina Kompleks Tabung Haji

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) sedang dalam rundingan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Arab Saudi berhubung cadangan pembinaan Kompleks Tabung Haji di Tanah Suci Makkah dan Madinah, dalam tempoh terdekat.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata syarikat Arab Saudi terbabit mempunyai rekod yang baik dan mampu memenuhi keperluan dan hendak TH itu.

    “Kita tidak perlu bangunan penginapan berstatus lima atau enam bintang. Setakat tiga bintang pun sudah memadai untuk menampung 35,000 hingga 40,000 jemaah haji Malaysia semasa musim haji,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Janadriyah di sini.

    Turut hadir, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Mengulas lanjut, Johan berkata cadangan tapak bagi pembinaan kompleks berkenaan di Makkah adalah kira-kira 500 meter dari Masjidil Haram, manakala di Madinah lebih kurang 150 meter dari Masjid Nabawi.

    Beliau berkata pembinaan Kompleks Tabung Haji di Tanah Suci itu adalah suatu langkah positif dan dapat memberi pulangan baik kepada TH dalam jangka panjang.

    “Sebab apa kita perlu mendapatkan kompleks penginapan untuk jangka panjang. Ini kerana, sama ada kita suka atau tidak, setiap tahun kita perlu menguruskan jemaah haji ke Tanah Suci, dan kos meningkat setiap tahun.

    “Berdasarkan perkara itu, amat praktikal dalam tempoh jangka panjang untuk Tabung Haji mendapatkan kompleks penginapan umpama ‘Perkampungan Malaysia” di Makkah dan Madinah bagi menangani kos mengerjakan haji yang meningkat setiap tahun,” katanya.

    Beliau berkata pelaburan bakal dibuat TH itu juga amat besar dan penting untuk melihat kegunaan kompleks berkenaan di luar musim haji.
    “Kita pun sudah membuat perbincangan bagaimana untuk menampung dari segi jemaah yang mengerjakan umrah.

    “Pada masa ini, kita sudah membuat pelaburan dengan memajak hotel-hotel di Tanah Suci (semasa musim haji) yang mendapat pulangan secara berterusan setiap tahun serta melalui jumlah penginapan untuk menunaikan umrah,” katanya.

    Cadangan pembinaan Kompleks Tabung Haji di Tanah Suci Makkah dan Madinah disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika lawatan rasmi baginda ke Malaysia pada Februari lepas. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Syarikat GLC Arab Saudi Bakal Bina Kompleks Tabung Haji "