• Suu Kyi Tepis Kritikan Luar Tangani Krisis Rohingya

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    NAYPYIDAW: Aung San Suu Kyi berkata hari ini, beliau tidak bimbang dengan kritikan global berhubung krisis Rohingya, dan memberi jaminan menghukum pihak bersalah namun enggan menyalahkan tentera atas keganasan yang memaksa 421,000 etnik minoriti Islam itu melarikan diri.

    Dalam ucapannya, beliau menepis celaan ke atas Myanmar dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, yang ditujukan kepada masyarakat antarabangsa, Suu Kyi menyeru supaya bersabar dan memahami krisis yang melanda 'demokrasi rapuh' pimpinannya.

    Beliau berikrar menempatkan semula sesetengah pelarian namun tidak menawarkan penyelesaian bagi menghentikan apa yang digelar PBB, pembersihan etnik diketuai tentera di Rakhine, di mana askar dituduh membakar rumah Islam Rohingya.

    Kumpulan hak asasi Amnesty International berkata, pemenang Nobel Keamanan itu 'membenam kepalanya dalam pasir' berhubung penderaan, pembunuhan, pembersihan sistematik sejumlah besar perkampungan dan dakwaan rogol direkodkan dilakukan tentera.

    Penyokong dan pemerhati berkata, pemimpin berusia 72 tahun itu tiada kuasa untuk mengekang tentera, yang memerintah negara itu selama 50 tahun dan hanya baru-baru ini memindahkan kuasa terhad kepada kerajaan awam pimpinannya.

    "Beliau cuba memulihkan kredibilitinya dengan masyarakat antarabangsa, tanpa bercakap terlalu banyak yang mungkin mendatangkan masalah dengan tentera dan rakyat Burma yang membenci Rohingya," kata Phil Robertson daripada Human Rights Watch (HRW).

    Keganasan masyarakat berlaku berleluasa di Rakhine sejak pemberontak Rohingya melancarkan serangan maut ke atas pos polis 25 Ogos lalu.

    Dalam ucapan 30 minit, Suu Kyi mempertahankan diri daripada pengkritik yang mengutuk kegagalannya bercakap untuk Rohingya.

    "Myanmar bersedia untuk menempatkan semula pelarian sejajar dengan satu proses 'pengesahan' dipersetujui dengan Bangladesh pada awal 1990-an.

    "Mereka yang disahkan sebagai pelarian dari negara ini (Myanmar) akan diterima tanpa sebarang masalah," tambah Suu Kyi. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Suu Kyi Tepis Kritikan Luar Tangani Krisis Rohingya "