• Suu Kyi 'Sembunyi Kepala Dalam Pasir'

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+
    Kawasan khemah sementara pelarian Rohingya di Cox’s Bazar dilanda banjir berikutan hujan lebat, hari ini. - Foto REUTER


    PENASIHAT kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi, berikrar negara itu akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabul hak asasi manusia dalam krisis etnik Rohingya namun enggan meletakkan kesalahan itu kepada tenteranya ketika PBB menuntut operasi ketenteraan di Rakhine dihentikan.

    Dalam ucapan di Yangoon beberapa jam selepas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menuntut Myanmar menghentikan operasi berkenaan dan menyelesaikan konflik etnik Rohingya, Suu Kyi meminta masyarakat antarabangsa bersabar dan memahami krisis yang sudah menyebabkan 421,000 Rohingya menjadi pelarian.

    Ucapannya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya itu dianggap menjawab tuntutan PBB.

    Pemenang hadiah keamanan Nobel itu berikrar menyelesaikan krisis berkenaan namun tidak menyatakan akan memberhentikan operasi ketenteraan di Rakhine yang disahkan PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai pembersihan etnik yang sistematik.

    Amnesty International berkata Suu Kyi ‘menyembunyikan kepalanya dalam pasir’ terhadap bukti yang didokumenkan membabitkan jenayah tentera Myanmar yang merogol, membunuh orang awam dan memusnahkan perkampungan.

    Dalam ucapan pembukaan Perhimpunan Agung PBB, Guterres yang menyertai masyarakat antarabangsa mengecam Myanmar berkata: “Pihak berkuasa di Myanmar perlu menghentikan operasi ketenteraan dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sekatan.

    “Mereka (Myanmar) juga perlu menyelesaikan penderitaan Rohingya yang status etnik berkenaan tertangguh sekian lama.”

    Dalam ucapan 30 minit itu, Suu Kyi mengkritik pihak yang mengecamnya kerana gagal memperjuangkan hak Rohingya.

    Beliau berkata, Myanmar bersedia menghantar pelarian pulang ke negara asal selaras dengan proses tapisan yang dipersetujui dengan Bangladesh pada awal 1990-an.

    “Mereka yang disahkan sebagai pelarian dari Myanmar akan diterima pulang tanpa masalah,” katanya.

    Daripada lebih 420,000 pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh, tidak dapat dipastikan berapa ramai boleh pulang ke Myanmar kerana semua mereka tiada dokumen menyatakan mereka rakyat Myanmar.

    Suu Kyi menegaskan operasi pembersihan militan oleh tentera berakhir pada 5 September namun menurut AFP, wartawannya masih dapat melihat rumah dibakar hingga sekarang manakala pelarian yang baru tiba menyatakan keganasan tentera dan penduduk Buddha masih berlaku.

    Tindakan Myanmar menutup Rakhine dan tidak membenarkan pasukan antarabangsa masuk membuat pemeriksaan atas alasan keselamatan menyukarkan usaha mengesahkan dakwaan kerajaan atau pelarian. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Suu Kyi 'Sembunyi Kepala Dalam Pasir' "