• Suspek Rompak Ayam Sabung Ditahan

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    SERIAN: Dua daripada tiga lelaki yang melarikan lima ayam sabung dari sebuah ladang ternakan di Batu 29, Kampung Palah, di sini, Isnin lalu, berjaya ditahan petang semalam.

    Suspek yang berusia 42 dan 43 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Serian di Batu 34, Jalan Kuching-Serian kira-kira jam 6.30 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 13 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

    “Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Isnin lalu, seorang pekerja di sebuah ladang ternakan di Batu 29, Kampung Palah didatangi tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta PERODUA Viva berwarna putih.

    “Salah seorang suspek mengambil parang yang ada di ladang iti dan terus meletakkan senjata tajam itu di leher seorang pekerja,” katanya.

    Pada masa yang sama, dua suspek merampas telefon bimbit jenis Lenovo 850 milik pekerja terbabit serta merampas lima ekor ayam sabung baka Pilipin,” katanya.

    Aswandy berkata, semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM15,000.

    Beliau berkata, dengan penahanan dua suspek, polis berjaya menemui semula seekor daripada ayam sabung yang dilarikan.-BH.
  • No Comment to " Suspek Rompak Ayam Sabung Ditahan "