• Sukan SEA, Hari Kebangsaan Dan Aidiladha, Hari Untuk Melangkah Ke Hadapan - Salleh

    Published: Friday, 1 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kejayaan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Hari Kebangsaan 2017 dan Hari Raya Aidiladha yang berturut-turut tiga hari, merupakan hari untuk rakyat Malaysia bangkit bersama dan terus melangkah ke depan.

    Beliau berkata rakyat daripada pelbagai peringkat usia dan bangsa datang untuk meraikan kemenangan Malaysia menjadi juara Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu, lepas.

    "Pada 30 Ogos 2017, saya di Stadium Bukit Jalil sempena majlis penutup Sukan SEA. Saya bangga, bersemangat dan terharu melihat stadium yang boleh memuatkan 100,000 orang, penuh.

    "Sasaran kita adalah 111 pingat emas seperti mana yang pernah kita capai pada tahun 2001, tetapi yang kita peroleh ialah rekod pencapaian 145 pingat emas daripada 404 pingat emas dipertandingkan (35.9 peratus)," katanya menerusi blog beliau (https://sskeruak.blogspot.my), hari ini.

    Salleh menjelaskan setelah penutup Sukan SEA selesai, acara disambung dengan majlis menyambut Hari Kebangsaan 2017 dan sorakan serta tepukan gemuruh memenuhi sekitar stadium ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan ucapan.

    Menurut Salleh, sorakan menjadi semakin kuat apabila Najib mengumumkan cuti umum pada 4 Sept di mana cuti itu adalah hadiah kerajaan kepada rakyat sempena tiga acara besar serentak iaitu kemenangan dalam Sukan SEA, Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

    "Menariknya, saya perhatikan yang berteriak itu majoritinya anak muda, tanda terima kasih mereka kepada Perdana Menteri kerana mengembalikan kegagahan kita dalam sukan di rantau ini. Perdana Menteri pula membalas penghargaan ini dengan mengatakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin adalah arkitek kejayaan ini.

    "Itulah simbolik penghargaan Najib mengucapkan terima kasih kepada Khairy untuk mengucapkan terima kasih kepada anak muda yang telah bersama dengan Khairy menciptakan kegemilangan dan kejayaan ini untuk negara kita," katanya.

    Salleh turut menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, semalam, cukup luar biasa apabila rakyat dari pelbagai kaum dan agama datang sejak awal pagi untuk meraikan hari bersejarah itu.

    "Dari atas pentas saya nampak semangat patriotik rakyat, saya rasa semangat rakyat menghargai jasa pejuang kemerdekaan negara, saya lihat rakyat menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan penghayatan, saya nampak konsep 1Malaysia kembali subur," jelasnya.

    "Hari ini kita menyambut Hari Raya Aidiladha. Selepas solat Raya, kita berkorban. Merenung jauh, pagi ini saya betul-betul merasakan Negaraku Sehati Sejiwa," katanya.

    Malaysia menjadi juara keseluruhan Sukan SEA edisi ke-29 dengan pencapaian gemilang meraih 145 emas, 92 perak and 86 gangsa.

    Justeru itu, Najib mengisytiharkan Isnin 4 Sept ini sebagai cuti khas atas pencapaian Malaysia yang luar biasa itu. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sukan SEA, Hari Kebangsaan Dan Aidiladha, Hari Untuk Melangkah Ke Hadapan - Salleh "