• Statistik Ukur Tahap Pencapaian Negara

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    SUNGKAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pencapaian sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau melalui statistik.

    Titah baginda, statistik dijadikan rujukan untuk memandu kerajaan ketika merangka pelbagai rancangan pembangunan dan mula berperanan dalam pembangunan sosioekonomi di Tanah Melayu dan Borneo, pada era 1930-an.

    "Pengumpulan data rasmi perdagangan luar negeri dan pertanian, dilakukan sejajar dengan aktiviti pertanian sebagai sumber utama ekonomi negara ketika itu.

    "Pada era 1970-an, pengumpulan statistik diperluaskan kepada maklumat sosial dan maklumat ekonomi, merangkumi pelbagai sektor bagi mengukur pencapaian ekonomi yang semakin beralih kepada ekonomi berasaskan perindustrian, seterusnya kepada industri berteknologi tinggi pada 1990an," titah baginda.

    Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) Jabatan Perangkaan Malaysia di sini, hari ini.

    Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

    Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

    Sultan Nazrin bertitah, sektor perkhidmatan ternyata semakin mendominasi ekonomi negara, dengan nilai ditambah mencecah RM601.3 bilion, menyamai 54.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016.

    Titah baginda, kini negara berdepan 'Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat' yang menuntut segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat relevan, tepat dan terkini.

    Baginda bertitah, gelombang dinamakan 'Big Data' itu dikenal pasti sebagai sumber yang berpotensi membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta.

    "Keadaan ini bukan saja menuntut proses pengumpulan data dilakukan secara moden dan lengkap, malah turut menuntut agar penyebarannya dilakukan secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat," titah baginda.

    Titah baginda lagi, tiga faktor perlu dihormati bagi membolehkan statistik berupaya berperanan sebagai instrumen yang dapat membantu, memastikan perancangan dapat dirangka secara tepat dan tidak mencetuskan masalah kepada pelaksana.

    Faktor pertama, titah baginda, statistik perlu dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif.

    "Kedua, statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti manakala ketiga, statistik ditafsir secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif dan prejudis.

    "Modal insan terlatih adalah tenaga penentu kepada prestasi pencapaian dan kejayaan sesebuah organisasi dan penubuhan Institut Latihan Statistik Malaysia amat bertepatan dalam hasrat memperkukuhkan daya saing dan tahap kepakaran sumber insan dalam bidang statistik.

    "Penubuhan institut ini adalah satu pelaburan jangka panjang berimpak tinggi kepada sumber insan terlatih, supaya lebih bersedia menguasai profesion baru ahli sains data dalam menghadapi revolusi teknologi digital yang berkembang begitu pesat," titah baginda. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Statistik Ukur Tahap Pencapaian Negara "