• Spurs 'Mandi Bunga' Layan Dortmund

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    LONDON: Kecewa dengan beberapa siri pengalaman sengsara di Wembley, Tottenham Hotspur menanti kunjungan Borussia Dortmund awal pagi Khamis ini terdesak untuk akhirnya menghapus badi yang menghantui mereka di stadium kebangsaan itu.

    Apabila anak buah Mauricio Pochettino memulakan kempen Liga Juara-Juara menentang kelab Jerman itu, ia bukan hanya mata berharga dalam Kumpulan H yang menjadi rebutan.

    Bagi Tottenham, Wembley mungkin berbahaya menjadi halangan impian mereka mencabar kejuaraan di negara sendiri dan luar negara.

    Kelab utara London itu terpaksa menggunakan Wembley ketika White Hart Lane kini dibina semula.

    Namun Spurs kini sudah beraksi 12 perlawanan di Wembley sejak gelanggang terkenal itu dibangunkan semula - menang hanya dua kali dan mengalami lapan kekalahan.

    Kesukaran Tottenham di Wembley lebih ketara dalam Liga Juara-Juara musim lalu apabila mereka hanya menang satu daripada tiga perlawanan kumpulan di stadium itu.

    CSKA Moscow hanya pasukan tunggal yang mampu mereka kalahkan ketika kekalahan kepada AS Monaco dan Bayer Leverkusen menyaksikan mereka tersingkir.

    Malah bermain menentang Gent dalam Liga Europa di Wembley ternyata pengalaman menyakitkan apabila kelab Belgium itu seri sekali gus menyingkirkan Tottenham pada pusingan kedua.

    Lebih parah lagi, badi Wembley terus menghantui Spurs hujung musim lalu apabila mereka tumpas aksi separuh akhir Piala FA 2-4 di tangan Chelsea.

    Perbandingan antara prestasi mereka di Wembley dan White Hart Lane bagai langit dengan bumi.

    Penamat tangga kedua Liga Perdana musim lalu adalah disebabkan rekod tanpa kalah mengagumkan di depan penyokong mereka, yang menyaksikan mereka menang 17 dan seri dua daripada 19 perlawanan di laman sendiri.

    Bagaimanapun Pochettino menegaskan pemainnya harus dipersalahkan berikutan rekod di Wembley bukannya apa yang dikatakan satu sumpahan.

    “Tiada apa perlu dirungut mengenai Wembley. Saya fikir ia adalah kami sendiri,” katanya. “Ia tidak bermain dalam fikiran pemain saya. Cara mereka melepaskan gol bukannya Wembley. Ia kerana kesilapan kami sendiri.”-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Spurs 'Mandi Bunga' Layan Dortmund "