• Skuad B-18 Malaysia Atasi Singapura

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Skuad Malaysia meneruskan rentak cemerlang pada Kejuaraan Bawah 18 tahun (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 dengan kemenangan 3-1 ke atas Singapura di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar, hari ini.

    Selepas kedua-dua pasukan gagal mencipta jaringan pada separuh masa pertama, Zafuan Azeman membuka jaringan m-58 untuk Malaysia, menurut laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    Skuad kendalian Bojan Hodak beraksi pada perlawanan kedua Kumpulan A terus memburu jaringan menerusi Ammar Akhmall Alias pada m-69 dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak m-89.

    Singapura mendapatkan gol sagu hati menerusi Katz Saul Ellison seminit kemudian.

    Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 4-1 ke atas Laos dua hari lalu di venue yang sama.

    Malaysia akan bertemu Timor Leste Jumaat ini diikuti Kemboja pada Ahad sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Thailand pada 12 September.

    Hanya dua pasukan teratas kumpulan mara ke separuh akhir yang berlangsung pada 15 September manakala pusingan akhir dan perlawanan penentuan tempat ketiga dijadualkan pada 17 September.-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Skuad B-18 Malaysia Atasi Singapura "