• Skim Rawatan Tanggungan Kerajaan Di IJN Dikaji

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merancang untuk menyelaras dan menstruktur semula skim pakej perkhidmatan rawatan pesakit jantung tanggungan hospital kerajaan yang dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN), kata Menterinya Datuk Seri S.Subramaniam.

    Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan IJN berhubung skim tersebut yang antara lain meliputi senarai rawatan dan jangkaan perbelanjaan dalam usaha menambah baik kemudahan kesihatan kepada golongan yang memerlukan.

    “Sebelum ini, kerajaan membiayai kos rawatan pesakit tanggungan kerajaan berdasarkan bil akhir yang dihantar IJN kepada kementerian. Menerusi skim baharu, kerajaan masih menanggung sepenuhnya kos rawatan pesakit rujukan hospital kerajaan tetapi yang bezanya kita akan membuat rundingan harga dengan IJN terlebih dahulu.

    “Oleh kerana itu, kita perlu berbincang sebelum membuat sebarang keputusan mengenai penstrukuturan semula skim tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis Hari Penyelidikan IJN 2017 di Auditorium IJN di sini, hari ini.

    Jelasnya, skim tersebut antara lain menyelaras rasionalisasi kos rawatan pesakit tanggungan kerajaan yang meliputi kakitangan kerajaan, pesara kerajaan dan pesakit kurang mampu, sebelum mereka menerima rawatan di IJN.

    Dr Subramaniam berkata skim baharu seumpama itu telah dilaksanakan di Jepun, Taiwan dan negara-negara lain ketika ini.

    “Sebaik sahaja perkara ini dipersetujui, dengan itu akan dapat memastikan komponen perkhidmatan awam ini diteruskan. Jadi, Kementerian Kesihatan tiada alasan untuk tidak merujuk pesakit daripada hospital kerajaan ke IJN. Mereka tidak boleh merungut tentang kos rawatan, memindahkan pesakit ke IJN adalah dua tiga kali lebih mahal daripada di Hospital Serdang,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dalam sidang media berkata penyelarasan dan penstrukturan semula skim tersebut masih ‘di peringkat awal’.

    “Masih di peringkat awal… buat masa ini semua urusan seperti sedia ada,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Skim Rawatan Tanggungan Kerajaan Di IJN Dikaji "