• Setiausaha Politik Menteri Direman 6 hari

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+
    Foto Ahmad Irham Mohd Noor


    PUTRAJAYA: Seorang setiausaha politik kepada menteri direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana bernilai RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

    Perintah reman kepada lelaki bergelar 'Datuk' bermula hari ini hingga 3 Oktober itu dikeluarkan Majistret Azizah Ahmad di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

    Lelaki berusia 61 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mengesahkan lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

    Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Majistret di sini, dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

    Minggu lalu, SPRM menahan empat individu termasuk seorang bergelar 'Datuk' di beberapa lokasi di Kuala Lumpur selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan dana PTPK sebanyak RM40 juta.

    Tiga daripada empat individu yang ditahan adalah pegawai kanan PTPK, manakala seorang lagi pengarah syarikat berumur 38 tahun.

    Bagaimanapun, keempat-empat individu itu sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 23 September lalu.

    Sementara itu, seorang bekas pegawai bank berusia 54 tahun direman lima hari bermula hari ini hingga 2 Oktober bagi membantu siasatan isu pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol.

    Selain itu, perintah reman dua lelaki bergelar Datuk yang juga ketua eksekutif syarikat berbeza dilanjutkan empat hari bermula esok hingga 2 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kes sama. - BHOnline 

    Subjects:

  • No Comment to " Setiausaha Politik Menteri Direman 6 hari "