• Sertai GERAH Untuk Tolak Rasuah Secara Total

    Published: Wednesday, 13 September 2017
    A- A+

    KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengajak orang ramai mendaftar sebagai ahli Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) bagi melahirkan revolusi masyarakat yang menolak rasuah secara total.

    Timbalan Pengarah SPRM Sarawak (Pencegahan), Zulhairy Zaidel berkata, sejak dilancarkan 1 Ogos lepas, lebih kurang 5,800 rakyat Sarawak telah mendaftar sebagai ahli.

    "Melalui kempen ini, SPRM mahu masyarakat menjadikan SPRM sebagai rakan mereka. Masyarakat mesti menjadi mata dan telinga SPRM dalam membantu pembanterasan jenayah rasuah di negara ini.

    "Setiap ahli yang mendaftar akan dibekalkan dengan kad keahlian yang mempunyai faedah dan keistimewaannya yang tersendiri," katanya sambil menambah faedah dan keistimewaan ahli bakal diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri pada 1 Oktober ini sempena Sambutan Ulangtahun SPRM yang ke-50.

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah ( GERAH) dan Kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle) Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sarawak bersama SPRM di Bangunan MARA Plaza Astana di sini, hari ini.

    Beliau memohon agar MARA turut membantu dalam mewar-warkan perkara berkenaan seterusnya meningkatkan lagi masyarakat bersama SPRM bagi mencegah jenayah rasuah.

    Sementara itu, MARA merupakan agensi yang pertama sekali menzahirkan sokongan dan komitmen dalam Gerakan Revolusi Anti Rasuah ( GERAH) dan Kempen 3J yang diperkenalkan oleh SPRM.

    "Komitmen agensi seperti MARA wajar dicontohi oleh agensi-agensi lain di Malaysia,"

    "Penglibatan agensi yang menyambut Kempen GERAH ini bukan sahaja memberi imej yang baik kepada mereka malah mampu mengekang ketirisan akibat rasuah dan salahguna kuasa," jelas Zulhairy. -Sarawakiana
  • No Comment to " Sertai GERAH Untuk Tolak Rasuah Secara Total "