• Selipar Menggunakan Kertas Mengandungi Kalimah Syahadah

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melalui unit penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Manjung merampas selipar yang dipercayai menggunakan kertas mengandungi kalimah syahadah untuk dijadikan pelapik di sebuah hotel di Sitiawan, semalam.

    Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om berkata, bertindak atas maklumat awam, pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota di premis berkenaan pada 11 pagi semalam.

    "Kita mengambil lima pasang selipar namun hanya sepasang saja yang menggunakan kertas keras mengandungi kalimah syahadah.

    "Empat lain tiada ayat suci al-Quran atau syahadah dan menggunakan gambar kartun," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan ada pelanggan premis berkenaan yang menyedari penggunaan kalimah suci itu selepas pelapik selipar terbabit terkoyak.

    "Pihak premis berkenaan mendakwa tidak mengetahui perkara itu namun apa yang dikesalkan adalah tindakan pihak yang membuat selipar itu seolah-olah tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam," katanya.

    Sementara itu, Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusof Husin berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

    Penggunaan kertas keras mengandungi kalimah syahadah untuk dijadikan pelapik selipar itu tular di Facebook (FB) sejak malam tadi hingga dikritik netizen yang menganggap perbuatan terbabit memperlekeh dan tidak menjaga sensitiviti agama Islam.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Selipar Menggunakan Kertas Mengandungi Kalimah Syahadah "