• Selera Malaysia Di Mekah Pembangkit Semangat

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    MEKAH: Semangat petugas bukan sahaja ditentukan oleh elemen berkaitan gaji, namun keupayaan menyediakan makanan yang menepati selera amat penting khususnya jika bertugas jauh di perantauan.

    Justeru, jangan hairan jika berada padang pasir Arafah, kakitangan tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) masih boleh menikmati hidangan nasi lemak, bihun goreng dan pelbagai lagi menu masakan Malaysia.

    Terima kasih kepada 10 tukang masak Dapur Depoh MMMSL yang bertungkus-lumus menyediakan masakan kepada lebih 600 petugas Prasarana bermula seawal 4 pagi sehingga lewat malam.

    Ketua Seksyen Pentadbiran MMMSL, Nor Aziz Mohd. Nor berkata, meskipun 10 tukang masak tersebut warga tempatan, mereka tidak ada masalah menyediakan masakan Malaysia.

    “Di awal kedatangan kita pada 2015, kita membawa tukang masak dari Malaysia. Namun dari semasa ke semasa kita ajar pekerja tempatan sehingga boleh menyediakan masakan Malaysia,” katanya.

    Nor Aziz menambah, bagi memastikan rasa masakan sama, pihaknya membawa rempah ratus dan bahan masakan dari Malaysia.

    “Nampak biasa, namun soal makan ini jika kita tidak jaga boleh menjejaskan motivasi pe­tugas,” tambahnya.

    Nor Aziz berkata, petugas MMMSL beruntung kerana ada ketikanya mereka dapat me­nik­mati makanan yang disediakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Ma­nagement & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham.

    “Selain memantau kualiti ma­sakan, Masnizam gemar ber­kongsi resipi dengan tukang masak,” katanya.– UTUSAN

    Subjects:

  • No Comment to " Selera Malaysia Di Mekah Pembangkit Semangat "