• Sekurang-Kurangnya 4 Kerusi Pembangkang Jadi Milik BN Sarawak

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    Empat kerusi milik pembangkang sekurang-kurangnya mampu ditawan kembali Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung BN Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi.

    Memetik laporan The Borneo Post, beliau turut menggesa semua parti komponen BN bekerjasama dan bekerja keras untuk merampas empat kerusi tersebut.

    "Kita memenangi 25 kerusi dan kalah enam kerusi pada pilihan raya umum lepas. Tetapi PRU14, kita yakin memenangi sekurang-kurangnya empat kerusi (dari enam kerusi).

    "Kita bekerja keras dan akan memberi sokongan kepada parti komponen BN yang mewakili empat kerusi.

    "Saya memberi nasihat apa sahaja konflik antara SUPP dan UPP mesti diselesaikan sebelum PRU14. Ini untuk memastikan kemenangan empat kerusi dan menjadi kekuatan kepada BN," katanya yang juga Menteri Utiliti.

    Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung PBB bagaimanapun tidak mahu menyatakan Lanang dan Sibu antara empat kerusi yang bakal dirampas kembali BN.

    "Apa yang boleh saya katakan empat kerusi yang mahu kita rampas tetapi ia dalam strategi kita tetapi tidak boleh didedahkan," ujarnya.

    Pada PRU13 lepas, BN Sarawak memenangi 25 kerusi dan kalah enam kerusi merangkumi Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.

    SUPP bertanding di tujuh kerusi dan mempertahankan kerusi Serian. Tiga lagi parti komponen BN merangkumi PBB, PRS dan PDP memenangi semua kerusi yang ditandingi.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Sekurang-Kurangnya 4 Kerusi Pembangkang Jadi Milik BN Sarawak "