• SC Saman Tujuh Individu Kerana Manipulasi Pasaran

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini telah menyaman tujuh individu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memanipulasi saham APL Industries Bhd (APLI) dan menuntut pengembalian wang serta penalti sivil sebanyak RM7 juta daripada individu tersebut, serta menghalang penglibatan mereka dalam pasaran modal.

    SC mendakwa bahawa Ng Wai Hong, seorang wakil peniaga di Hwang-DBS Securities Bhd, dan enam individu lain yang terbabit dengannya telah menjalankan transaksi secara aktif saham APLI dalam volum yang besar antara 7 hingga 9 November 2006, yang menyebabkan peningkatan mendadak dalam volum dagangan dan harga saham APLI.

    Menurut Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh SC pada 21 September 2017, Ng telah bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan dagangan saham APLI berkenaan bagi pihak kesemua defendan yang telah membenarkan akaun mereka digunakan secara bergilir dalam aktiviti manipulasi tersebut.

    Dagangan yang dijalankan oleh Ng melalui akaun-akaun enam defendan lain merupakan 30.36% daripada jumlah volum saham APLI yang didagangkan di pasaran.

    Enam defendan lain tersebut ialah Lo Ga Lung, Toh Pik Chai, Ling Pik Ngieh, Ng Soo Tian, Chan Kok dan Chai Shou Wei.

    SC mendakwa tindakan pihak defendan tersebut telah mewujudkan gambaran dagangan aktif yang palsu atau mengelirukan mengenai pasaran bagi saham APLI serta mempunyai kesan kepada pengekalan harga saham APLI. Tindakan tersebut melanggar seksyen 84 dan 85 Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

    SC kini menuntut bagi pengembalian kesemua keuntungan yang diperolehi oleh defendan hasil daripada aktiviti manipulasi tersebut, dan jumlah yang dikembalikan tersebut akan digunakan sebagai pampasan kepada pelabur yang terkesan. SC juga menuntut penalti sivil sebanyak RM1 juta daripada setiap seorang daripada tujuh defendan tersebut.

    Perintah yang lain yang dituntut adalah agar pihak defendan dihalang daripada menjadi pengarah syarikat awam tersenarai dan daripada menjalankan dagangan di bursa saham bagi tempoh selama lima tahun.

    Subjects:

  • No Comment to " SC Saman Tujuh Individu Kerana Manipulasi Pasaran "