• Saya hadir leraikan pergaduhan, kata timbalan menteri

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan menafikan beliau terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan di pejabat akhbar Tamil Malar Daily di Jalan Ipoh di sini, hari ini.

    Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC itu berkata, kehadirannya di tempat itu adalah untuk meleraikan pergaduhan di antara kedua-dua kumpulan itu.

    “(Saya) tidak ada kena mengena (dengan insiden itu). Ada orang di situ memberitahu saya akan insiden itu dan kebetulan saya berada di pejabat MIC Wilayah, yang berdekatan dengan pejabat akhbar itu. Jadi saya pergi ke sana untuk melihat keadaan. Saya juga tidak membawa sesiapa bersama ketika ke tempat kejadian itu.

    “Ketika saya di lokasi, kedua-dua kumpulan ini hanya tolak menolak dan saya hadir untuk meleraikan mereka bagi mengelak kejadian bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

    Katanya beliau mengarahkan kedua-dua kumpulan itu membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan untuk disiasat polis.

    “Jika ada isu mereka tidak puas hati, buat laporan polis dan biar polis siasat siapa betul dan siapa salah,” kata Saravanan.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu daripada kedua-dua pihak.
    Katanya, siasatan sedang dilakukan.

    Portal berita tempatan hari ini melaporkan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan itu berlaku susulan laporan Tamil Malar Daily mengenai Saravanan yang juga pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Saya hadir leraikan pergaduhan, kata timbalan menteri "