• Sarikei Bakal Jadi Pusat Agro Pertama Di Sarawak

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    Sarikei dipilih sebagai lokasi untuk perbinaan Agro Park yang pertama di negeri ini bagi mengukuhkan bidang pertanian untuk kekuatan ekonomi dan penempatan kepada petani dinamik, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Memetik laporan The Borneo Post, projek tersebut akan mula dibina pada tahun hadapan selepas semua proses seperti membahagikan tanah ke blok selesai.

    "Seluas 500 ekar tanah berhampiran bandar telah dikenalpasti dan semua kemudahan asas seperti bekalan air dan bekalan elektrik telah diluluskan,"

    "Kejayaan projek ini akan membuka jalan untuk pengembangan ke kawasan lain," katanya.

    Tambah Abang Johari, tanah akan dibahagikan kepada 50 blok dari 10 ekar dan setiap daripadanya akan disewakan kepada sesiapa yang berminat memulakan bukan sahaja teknolgi baharu untuk meneroka potensi industri pertanian tetapi juga mereka yang memanfaatkan internet bagi memasarkan produk mereka.

    "Ini adalah untuk memastikan bahawa tanah yang dipajak oleh kerajaan untuk tujuan pertanian tidak disalahgunakan.

    "Berdasarkan dari pengalaman yang lalu, terdapat banyak pemohon yang berjaya memiliki tanah pertanian tetapi tidak serius dalam membangunkan tanah mereka dan paling teruk, mereka menjual tanah itu kepada orang lain," ujarnya.

    Sementara itu kata Abang Johari, Kementerian Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah ada menawarkan dana dikenali sebagai 'Venture Capital kepada peserta Agro Park yang memerlukan bantuan kewangan.

    "Di bawah dasar baru ini, tanah untuk projek tersebut akan dibahagikan kepada blok tanpa sebarang apa-apa hakmilik dikeluarkan, maka tidak ada ruang untuk penyalahgunaan. Maka mereka yang menyewa sama ada untuk menghasilkan pertanian atau memulangkannya semula," jelas Abang Johari.

    Beliau turut menjelaskan ini adalah sejajar dengan keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan pengurusan pembangunan ekonomi dari tradisional kepada cara digital.

    Beliau bercaya peralihan kepada ekonomi digital adalah salah satu kemajuan terutamanya untuk menjadikan negeri Sarawak yang paling berjaya di Malaysia menjelang 2030. - Sarawakiana
  • No Comment to " Sarikei Bakal Jadi Pusat Agro Pertama Di Sarawak "