• Sarawak Perlukan Pakar Teknikal Untuk Hasilkan Produk Tani Berkualiti

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan Sarawak memerlukan lebih ramai pakar teknikal pertanian bagi membantu petani kecil merancakkan lagi pengeluaran dan penghasilan produk tani berkualiti.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, pakar teknikal tersebut berperanan dalam memberi nasihat kepada petani dalam semua perkara berkaitan pertanian bagi memastikan tanaman sentiasa dalam keadaan baik.

    “Pakar teknikal pertanian ini akan membantu petani terutama di luar bandar mengenal pasti baja atau mencegah penyakit berkaitan tumbuhan daripada menyerang kebun mereka.

    “Dalam kata lain, mereka ini dapat membantu petani kita mengeluarkan hasil tani yang berkualiti,” katanya.

    Menurut Uggah lagi, Sarawak sememangnya sudah berhasrat untuk menjadi pengeksport makan dan menguna pakai kaedah pertanian moden di kalangan petani terutamanya di luar bandar.

    "Sarawak merupakan negeri yang masih mempunyai tanah yang luas iaitu kira-kira dua juta hektar untuk dibangunkan dalam pertanian.

    "Kerajaan negeri mahu melihat lebih ramai pakar teknikal dalam industri pertanian bagi meningkatkan tahap keupayaan Sarawak menghasilkan dan membekalkan sumber makanan."

    Justeru, beliau berharap Institut Pertanian Sarawak (IPS) dapat memainkan peranan dalam menyediakan program berkaitan perkara itu bagi membantu melahirkan lebih ramai tenaga pakar teknikal pertanian di negeri ini.

    “Pada masa ini saya telah mengarahkan IPS mengkaji semula silibus yang ditawarkan di sini bagi membantu meningkatkan pengeluaran pakar teknikal pertanian ini dalam kita mencapai impiann kita,” katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Perlukan Pakar Teknikal Untuk Hasilkan Produk Tani Berkualiti "