• Sarawak Pay Akan Dibangunkan Dengan Kerjasama Huawei

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    KUCHING: Sarawak Pay bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat multinasional China, Huawei bersama kerajaan negeri dalam usaha membawa Sarawak ke arah transformasi ekonomi digital

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata teknologi ini merupakan pengenalan baharu kepada sistem kewangan yang akan diguna pakai di negeri ini.

    “Sarawak Pay akan memberi impak kepada pertumbuhan industri negeri dengan adanya sistem pembayaran yang pantas dan berkesan.

    “Kita akan bangunkan sistem pembayaran digital Sarawak Pay yang membolehkan kita memiliki e-wallet supaya dapat dihubungkan terus kepada pengguna kaedah ini di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan China," katanya.

    Beliau turut mendedahkan sistem pembayaran tanpa wang ini telah diguna pakai di beberapa negara seperti China, Indonesia, Singapura dan Thailand yang mempunyai sistemnya sendiri iaitu Alipay.

    “Di China, kalau anda membeli barang menggunakan wang tunai, mereka tahu anda adalah orang luar kerana masyarakat di sana (China) membuat pembayaran menggunakan telefon pintar,” ujar Abang Johari.

    Tambah beliau lagi, sistem ini akan memberi kelebihan kepada usahawan dan peniaga menjalankan transaksi secara terus dalam persekitaran yang lebih selamat.

    "Kerjasama dengan negara maju seperti China amat penting dalam merealisasikan perancangan yang dibuat untuk Sarawak beralih kepada negeri berteknologi," jelas Abang Johari. - Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Pay Akan Dibangunkan Dengan Kerjasama Huawei "