• Sarawak Gagal Dapatkan Lesen Kelab FAM

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 2017, Johor Darul Takzim (JDT) antara tujuh daripada 12 pasukan Liga Super musim ini telah lulus dalam permohonan mereka mendapatkan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada musim depan.

    Turut mengiringi JDT adalah enam pasukan iaitu Selangor, Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang dan T-Team FC.

    Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam kenyataan semalam berkata, perkara itu diputuskan selepas membuat penilaian pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM pada 24 Ogos lepas.

    Lebih membanggakan, empat daripada tujuh pasukan berkenaan iaitu JDT, Selangor, Pahang dan PKNS FC turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

    "Ini merupakan tahun penting dalam permulaan kita membangunkan pelesenan kelab ini yang mana kita telah menetapkan setiap pasukan yang ingin bertanding dalam saingan Liga Super 2018 serta pertandingan peringkat AFC bagi tahun 2018 perlu memiliki lesen kelab."

    Sementara itu, permohonan lima pasukan Liga Super yang terdiri daripada Felda United, Kedah, Kelantan, Melaka United dan Sarawak telah ditolak kerana gagal menepati enam kriteria utama yang telah ditetapkan.

    Antara kriteria utama yang diambil kira adalah kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

    Bagaimanapun, pasukan yang gagal masih boleh mengemukakan rayuan seperti yang dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.

    Untuk rekod, kedua-dua lesen yang dikeluarkan adalah sah untuk tempoh sepanjang musim 2018 dan jika terdapat mana-mana pasukan yang melanggar artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik. - Bernama


    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak Gagal Dapatkan Lesen Kelab FAM "