• Santos Minat Kerjasama Dengan JDT

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    Kelab bola sepak ternama Brazil, Santos FC melahirkan minat untuk mengadakan kerjasama dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan ia dijangka menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

    Menerusi entri terbaru Johor Southern Tigers, Presiden Santos FC, Modesto Roma Junior menghantar surat jemputan kepada pemilik Johor DT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melawat kelab yang berpusat di Sao Paolo itu.

    “Johor DT sekali lagi mendapat pengiktirafan kelab luar negara apabila Tunku Ismail menerima jemputan Presiden Santos FC, Modesto Roma Junior.

    “Mereka juga menyatakan keinginan untuk menjalin hubungan kerjasama di rantau Asia dengan memilih Johor DT dan pastinya kerjasama itu akan meletakkan kelab Johor DT semakin terkenal di mata dunia tatkala ia juga menunjukkan betapa kelab itu memiliki kelas tersendiri,” menurut kenyataan itu.

    Jika kerjasama antara Santos FC dan Johor DT terlaksana, ia memberi ruang kepada skuad Harimau Selatan untuk mendapatkan pemain dari kelab Brazil itu secara pinjaman sekali gus dapat menjaga kos Johor DT.

    Sebelum ini, Johor DT sudah mengadakan kerjasama dengan kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dan kelab La Liga Sepanyol, Valencia CF dan semuanya hasil kerja keras Tunku Ismail yang mahu memartabatkan bola sepak di Johor.

    Malah perbincangan juga sedang dibuat dan ia dalam rundingan akhir tatkala Johor DT merancang untuk menghantar skuad belia berlatih di Valencia dan ia membuktikan betapa pengurusan Johor DT menitik berat program pembangunan bola sepak peringkat remaja.

    “Bukan saja menjalani latihan, skuad belia yang akan berlatih di Sepanyol berpeluang menyertai beberapa pertandingan kategori belia di sana dan bertanding atas nama Johor DT. Ini sebahagian daripada pelan terancang untuk pembangunan akademi bola sepak Johor DT,” menurut kenyataan itu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Santos Minat Kerjasama Dengan JDT "