• Sambil Teka Nama Buah, Pemandu F1 Kongsi Duka Perlumbaan Akhir Di Litar Sepang

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+


    Kehangatan Formula 1 Sepang mula membuka tirainya hari ini dengan setiap pasukan dan pemandu bersiap siaga berdepan cabaran cuaca panas lembab di Malaysia bagi melengkapkan jadual perlumbaan tahunan sesi 2017.

    Sepang merupakan perlumbaan ke-15 daripada 20 perlumbaan bagi tahun 2017 adalah tahun akhir penganjurannya selepas kerajaan memutuskan untuk tidak melabur didalam pertandingan antarabangsa tersebut.

    Difahamkan, sebanyak RM300 juta dibelanjakan setiap tahun selama hampir 20 tahun penganjuran perlumbaan Formula 1 di Malaysia.

    Bagi pemandu pasukan Red Bull Racing, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen, kedua-duanya menyatakan rasa duka diatas perlumbaan terakhir di Malaysia, namun tetap bersemangat untuk menamatkan perlumbaan, tambahan pula perlumbaan di Singapura dua minggu lalu merupakan bencana bagi seluruh pemandu yag bertanding.

    Perlumbaan di Singapura terpaksa dihentikan awal akibat kekangan cuaca hujan lebat yang mengakibatkan pelanggaran antara Sebastian Vettel dan Kimi Raikonnen dari pasukan Ferrari serta Verstappen di awal perlumbaan.

    Bagi Ricciardo, beliau optimis untuk kembali menjulang trofi kemenangan pada tahun ini selepas berjaya mengatasi Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes, tahun lalu.

    "Tahun lalu membuatkan memori saya disini (Sepang) sangat bermakna.

    "Ianya (perlumbaan) tidak selesa, tetapi jika anda menamatkan perlumbaan dengan baik dan mengatasi cabaran cuaca panas, ianya satu ganjaran yang bermakna," ujar Ricciardo menjelaskan cabarannya setiap kali berlumba di Litar Sepang.

    Sementara bagi Verstappen yang akan menyambut hari kelahiranya ke-20, Sabtu (30 Sept), beliau berharap untuk menambah mata kepada pasukannya, Red Bull Racing, ekoran cuma berbaki 5 perlumbaan lagi sebelum sesi 2017 melabuhkan tirai.

    "Terima kasih diatas semua sokongan. Saya telah berlumba di sini sejak 2006 sebelum Formula 1, bermakna saya sudah berada di sini sudah lama. Walaubagaimanapun, kami harap anda menikmatinya".

    Pelumba dari Belanda ini turut menyimpan hasrat agar Malaysia akan kembali menganjurkan perlumbaan Formula 1 di masa hadapan.

    Red Bull Racing tidak mengamalkan 'all work, no play'. Ricciardo dan Verstappen diberi kesempatan untuk merasai buah-buahan tempatan dan diberikan cabaran untuk menamakan makanan tersebut.

    Jika di Singapura, kedua-duanya diberi cabaran untuk mengupas buah durian dan merasai sendiri 'raja buah' itu, Malaysia pula memberi cabaran berbeza.

    Antara buah yang dihidangkan adalah langsat, cempedak, manggis, betik, buah naga, mangga serta tembikai.  - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Sambil Teka Nama Buah, Pemandu F1 Kongsi Duka Perlumbaan Akhir Di Litar Sepang "