• Rohingya : Embargo Perdagangan, Beri Myanmar Tekanan

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+


    SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi tekanan lebih kuat terhadap Myanmar dengan mengenakan sekatan perdagangan, terutama ke atas barangan pengguna dan bahan bakar.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata gesaan itu dibuat setelah melihat kerajaan yang pada ketika ini memilih retorik serta gagal mencadangkan strategi penyelesaian konflik yang adil dan menyeluruh.

    "Pada mada masa ini dilaporkan, 270,000 orang etnik Rohingya telah dilaporkan melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar ke Bangladesh.

    "Media antarabangsa turut melaporkan kebanyakan kampung-kampung etnik Rohingya yang telah diserang askar Myanmar di wilayah Rakhine menampakkan kesan-kesan 'pembunuhan etnik'.

    "Pada masa yang sama, Asean perlu memainkan peranan yang lebih proaktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tiada makna wujudnya satu kesepakatan ekonomi serantau seperti AEC jika negara-negara anggota dibiarkan bertindak menzalimi warga di wilayah sendiri.

    "Terutama apabila kezaliman tersebut mungkin mendatangkan kesan negatif kepada seluruh rantau Asean dengan radikalisasi dan ekstremisme kelompok-kelompok tertentu.

    "Jelas Yangon tidak mengendahkan sebarang saranan dan kecaman dari seluruh masyarakat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu Rohingya, malah terus angkuh menindas dan menzalimi kumpulan etnik tersebut," ujarnya.

    Tambah beliau, Presiden Myanmar yang juga pemenang anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi, gagal menunjukkan keprihatinan dan simpati terhadap etnik Rohingya dalam krisis kemanusiaan ini. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Rohingya : Embargo Perdagangan, Beri Myanmar Tekanan "