• RM800,000 Lebur Disamun ‘Mat Rempit’ Bersenjata

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    AKSI empat penjenayah melarikan dua beg berisi wang tunai berjumlah RM800,000 dari sebuah van syarikat kawalan keselamatan di sebuah stesen minyak di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor semalam nyata seperti filem Hollywood.

    Kejadian jam 5 petang itu berlaku ketika empat petugas syarikat berkenaan tiba di stesen minyak tersebut untuk memasukkan wang ke dalam mesin ATM dalam premis berkenaan sebelum didatangi suspek yang menunggang dua motosikal jenis Yamaha 125z.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata seorang suspek yang dipercayai bersenjatakan pistol, melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum merampas selaras pump gun daripada seorang petugas syarikat kawalan keselamatan.

    Penjenayah yang memakai topi keledar bertutup penuh kemudian memaksa petugas berkenaan menyerahkan dua beg berisi wang yang disimpan dalam van.

    “Seorang petugas syarikat kawalan keselamatan cedera di kepala akibat dihentak dengan pump gun yang dirampas suspek. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ampang dan menerima rawatan pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

    Hamzah berkata, polis berjaya menemui semula pump gun berkenaan yang dicampak suspek di tepi jalan berhampiran tempat kejadian.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

    Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali, berkata dia terdengar bunyi satu das tembakan sebelum melihat empat lelaki dalam keadaan tergesa-gesa cuba menghidupkan enjin motosikal dengan pemboncengnya masing-masing membawa satu beg berwarna hitam.

    Ketika itu dia berada di dalam kereta di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya besar bersebelahan stesen minyak berkenaan.

    “Mulanya saya buat tak tahu kerana sangka mereka bawa beg piza. Tetapi apabila melihat seorang daripada pembonceng membawa pump gun, saya tahu ada sesuatu tidak kena.

    “Saya kemudian ke stesen minyak itu dan nampak sebuah van kawalan keselamatan dengan seorang petugasnya berdarah di kepala,” katanya. – BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " RM800,000 Lebur Disamun ‘Mat Rempit’ Bersenjata "