• Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, ketika mata wang asing itu menerima rangsangan daripada mesyuarat pembuat dasar Sistem Rizab Persekutuan bagi membincangkan langkah mengetatkan kewangan seterusnya, kata peniaga.

    Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1900/1930 berbanding 4.1870/1900 bagi setiap dolar AS pada Isnin.

    Peniaga berkata, dolar AS meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh lapan minggu berbanding yen.

    "Dengan pengenduran dalam isu Korea Utara, berlaku kekurangan permintaan untuk mata wang selamat seperti yen," kata peniaga itu.

    Menurutnya, Presiden AS, Donald Trump dalam ucapan yang dijadual pada 1430 GMT hari ini, akan menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan tekanan ke atas Korea Utara bagi menghentikan program senjata nuklearnya.

    Sementara itu, peniaga berkata, harga minyak mentah yang meningkat telah membantu membendung kejatuhan mata wang tempatan.

    Minyak mentah Brent diniagakan pada AS$55.67 setong, naik 19 sen AS.

    Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan keseluruhannya lebih tinggi, kecuali euro, yang jatuh kepada 5.0217/0257 daripada 5.0035/0087 semalam.

    Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1053/1087 daripada 3.1098/1132 pada Isnin dan berbanding yen ia menambah kepada 3.7535/7565 daripada 3.7619/7656 sebelum ini.

    Mata wang tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6540/6597 daripada 5.6717/6775. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS "