• Richard Beri Keterangan Lebih 10 jam Di SPRM

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, memberi keterangan lebih 10 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini, berhubung kes penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

    Beliau, yang dilihat keluar dari bangunan berkenaan pada kira-kira jam 8 malam, berkata, kehadirannya di SPRM adalah untuk membantu siasatan.

    "Saya datang hanya untuk membantu SPRM untuk membuat penyiasatan, saya tidak menyerahkan apa-apa (dokumen) kerana saya datang dengan tangan kosong tadi," katanya kepada media selepas memberikan keterangan kepada SPRM.

    Ditanya mengapa beliau memberikan keterangan sehingga 10 jam, Riot berkata, itu adalah perkara biasa, bergantung kepada maklumat yang diperlukan SPRM.

    Terdahulu, beliau yang tiba di lobi ibu pejabat SPRM pada jam 10.03 pagi dengan berkemeja putih dan bertali leher, kelihatan tenang serta sempat memberikan senyuman kepada beberapa wakil media yang menunggu.

    Richard kemudian dibawa masuk ke dalam bangunan berkenaan diiringi beberapa pegawai ke tempat memberikan keterangan.

    Semalam, Setiausaha Politik beliau direman enam hari bagi membantu siasatan penyelewengan dana kerajaan RM40 juta untuk PTPK.

    Sebelum ini, pada 14 September lalu, empat individu, termasuk Ketua Eksekutif PTPK bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan.

    Semua yang ditahan dipercayai menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

    Siasatan awal SPRM mendapati, pada 2016, seorang suspek disyaki menyeleweng sebanyak RM15 juta selain RM25 juta pula pada tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 juta.

    Sumber SPRM berkata, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk tahun ini kepada perbadanan itu bagi mengendalikan program latihan, manakala pada tahun 2016, sejumlah RM35 juta diperuntukkan bagi tujuan sama. - BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Richard Beri Keterangan Lebih 10 jam Di SPRM "