• Rentung Dalam Kereta

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    PENAMPANG: Seorang mangsa ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar kira-kira 80 peratus di Jalan Donggongon, di sini awal pagi tadi.

    Identiti mangsa dalam kejadian kita-kira jam 4.30 pagi itu belum dapat dikenal pasti.

    Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata bomba menerima panggilan kejadian pada jam 4.43 pagi.

    "Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis PROTON Saga FLX yang terbakar 80 peratus dan seorang mangsa ditemui rentung dalam kereta berkenaan.

    "Maklumat terperinci mangsa belum diketahui manakala mayat sudah diserahkan kepada polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota bomba dari balai Penampang sejurus menerima panggilan dan tiba di lokasi enam minit kemudian.

    "Operasi tamat pada jam 5.35 pagi," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden, berkata polis belum menerima maklumat berhubung identiti mangsa dan kejadian masih disiasat. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rentung Dalam Kereta "