• Rendang, Patin Tempoyak Dipertimbang Jadi Harta Intelek

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    SERDANG : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang diberi mandat menerajui pembangunan industri kulinari negara daripada aspek pertanian, menimbang rancangan untuk mendaftarkan menu seperti rendang dan patin tempoyak sebagai harta intelek bagi melindungi hak mereka yang membangunkannya.

    Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata antara perhatian kementerian setelah diberi peranan baharu itu juga adalah untuk membangunkan menu-menu baharu produk makanan.

    "Dengan peranan baharu ini, kementerian perlu pergi ke satu tahap perancangan lebih besar dalam memastikan produk pertanian dapat ditransformasi menjadi 'lebih berharga' apabila diolah menjadi hidangan," katanya kepada Bernama.

    Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan mandat kepada kementeriannya menerajui pembangunan industri kulinari negara daripada aspek pertanian ketika ditemui menyampaikan hadiah pertandingan kulinari sempena perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK2017) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini semalam.

    Ahmad Shabery berkata satu unit mungkin akan ditubuhkan di kementerian bagi menguruskan hal berkaitan kulinari dengan lebih bersistematik sebelum dibangunkan sebagai satu jabatan.

    Katanya warga kementerian juga perlu melihat pertanian dan makanan dalam dimensi berbeza kerana selama ini makanan hanya dilihat dari segi bagaimana ia dikeluarkan dari ladang serta bagaimana keluaran itu diagihkan.

    Peranan baharu ini juga memberi peluang kepada kementerian untuk memajukan bekas penuntut bidang kulinari di bawah kendalian Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi seperti peluang diberikan kepada graduan pertanian mempraktikkan pengetahuan yang dipelajari di universiti, katanya. — Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Rendang, Patin Tempoyak Dipertimbang Jadi Harta Intelek "