• Reman Pengarah Syarikat, Bekas Pembantu Teknikal Dilanjut

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Tempoh reman bekas pembantu teknikal PETRONAS Carigali dan seorang pengarah wanita syarikat kontraktor dilanjutkan empat hari lagi bagi membantu siasatan tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

    Perintah lanjutan reman bermula esok hingga 15 September ini terhadap suspek berusia antara 28 dan 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

    Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Mereka dikatakan mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor itu antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

    Tuntutan itu sudah dibayar oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit, namun tiada kerja dilaksanakan bagi tuntutan itu.

    Selain itu, seorang pengurus kanan PETRONAS Carigali berusia 45 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 selepas direman enam hari sejak 6 September lalu.

    Turut dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 adalah seorang lelaki berusia 65 iaitu bapa mentua kepada bekas eksekutif PETRONAS Carigali yang direman sejak 8 September lalu bagi membantu siasatan kes sama. - BH online

    Subjects:

  • No Comment to " Reman Pengarah Syarikat, Bekas Pembantu Teknikal Dilanjut "